Empat pos imbangan di sempadan Sarawak-Kalimantan siap tahun depan – Hishammuddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PEMBINAAN empat pos kawalan imbangan di sempadan Sarawak-Kalimantan yang dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2022.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melaksanakan pembinaannya.

“Ini sebagai usaha kerajaan dalam melindungi keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan terutama setelah ibu kota negara Indonesia dipindahkan ke Borneo.

“ATM sedang melaksanakan pembinaan empat pos imbangan iaitu Pos Padang Pan di Bahagian Kuching, Pos Sungai Paoh di Bahagian Serian, Pos Batu Kaya di Bahagian Sri Aman dan Pos Tapak Megah di Bahagian Kapit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan titah Diraja Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu ujarnya, seramai 495 anggota telah diaturgerak dalam penugasan operasi teras di perbatasan Sarawak.

Ini bertujuan untuk membanteras segala aktiviti pencerobohan dan penyusupan melalui pengawasan dan kawalan rapi di sempadan dan meliputi Operasi AWAS/KERISPARANG, Operasi JAGAKAWAN dan Operasi KERANGKA.

Hishammuddin berkata, 10 lagi pos imbangan di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan akan dibina menjelang tahun 2022.

Penambahan itu antara lain bagi memperkukuhkan kawalan sempadan dan kerjasama melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI), katanya.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ATM sedang merancang untuk membina 10 lagi pos imbangan di sempadan Sarawak-Kalimantan pada tahun 2022.

“Pembinaan pos-pos imbangan tersebut adalah bagi mengimbangi pos-pos kawalan TNI seterusnya memperkukuhkan lagi kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Dalam masa yang sama ATM juga menjalinkan kerjasama dengan TNI di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan melalui operasi gabungan antara TDM dengan TNI di enam penempatan pos-pos gabungan,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *