HARI ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui akaun Twitter mengucapkan tahniah kerana Malaysia capai sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.
Pencapaian itu jauh lebih awal daripada sasaran akhir tahun sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan secara berperingkat mulai 24 Februari lalu.
Kita masih ingat fasa pertama PICK melibatkan petugas kesihatan dan barisan hadapan manakala Tan Sri Muhyiddin Yasssin menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin Covid-19 keluaran Pfizer–BioNTech.
Seperti juga program-program lain ia pasti ada kelemahan di sana di sini, tetapi kerajaan yang ketika itu dipimpin oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak berputus asa.
Pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat dilaksanakan dengan penyertaaan sejumlah kementerian dan agensi kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan anggota masyarakat untuk memastikan bahawa program ini mencapai sasarannya.
Khairy Jamaluddin yang ketika itu menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi program imunisasi ini setelah pelantikan beliau dipersetujui oleh Jemaah Menteri hingga peletakan jawatan beliau pada 16 Ogos lalu.Beliau kini adalah Menteri Kesihatan.
Dengan sokongan Muhyiddin dan barisan Kabinet termasuk Ismail Sabri yang ketika itu merupakan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), pelbagai langkah dilakukan bagi menjayakan program imunisasi terbesar yang pernah dilaksanakan dalam sejarah negara ini dan diuruskan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sejak awal tahun 2021.
Walaupun terdapat gangguan politik termasuklah bergema slogan ‘kerajaan gagal’ namun PICK tidak pernah tergugat. Biarpun Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu namun bekas Perdana Menteri sudah ‘menyediakan tapak’ bagi memastikan PICK dan apa juga usaha bagi membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 berjaya.
Ia terbukti apabila laporan dari minggu keempat bulan Ogos 2021, Malaysia secara purata memberikan sekitar 448,900 dos vaksin setiap hari dan memberi bayangan bahawa negara akan mencapai kelompok imuniti lebih awal daripada sasaran.
Dan hari ini, ia sudah tercapai sekaligus membuktikan satu lagi tuduhan bahawa ‘kerajaan gagal’ menangani pandemik Covid-19 hanyalah dakyah dan bermotif politik semata-mata bagi menyingkirkan Muhyiddin daripada kerusi Perdana Menteri.
Kejayaan PICK salah satu daripada pelbagai usaha kerajaan memerangi Covid-19 yang disusun sejak pandemik itu tercetus. Lain-lain kejayaan ialah bagaimana beberapa negeri kini sudah memasuki fasa pemulihan yang cukup memberangsangkan.
Ketika ini hanya tinggal Kedah dan Johor sahaja di Fasa 1 manakala negeri-negeri lain sudah melangkah ke Fasa 2, Fasa 3 dan menuju Fasa 4. Selain kes Covid-19 di negeri-negeri juga mencatatkan penurunan ketara.
Selangor dan Kuala Lumpur yang suatu ketika dianggap ‘sarang Covid-19’ kini sudah memasuki Fasa 2 dengan kes Selangor (1,934) dan Kuala Lumpur (359). Sektor-sektor ekonomi juga semakin ‘bernafas’ kembali.
Itu belum lagi mengambil kira bagaimana lebih banyak sektor pelancongan akan dibuka selepas Langkawi sudah menikmati sejak seminggu lalu. Semua ini adalah hasil usaha yang dilakukan oleh Muhyiddin.
Tetapi pada masa sama beliau beruntung kerana memiliki barisan Kabinet khususnya Ismail Sabri dan ahli-ahli Parlimen UMNO yang terus berjuang bersama Muhyiddin memerangi pandemik Covid-19 ketika parti mereka menarik sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
Kita tidak boleh bayangkan apa akan berlaku, jika Ismail Sabri dan rakan-rakannya turut sama terjebak dengan politik ‘pendek akal’ itu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik tersebut.
Ismail Sabri sanggup mengambil risiko, begitu juga dengan ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan. Mereka tahu adalah sangat tidak bertanggungjawab meninggalkan rakyat dan negara ketika Covid-19 ‘tengah menggila’.
Ternyata pengorbanan mereka kini tidak sia-sia. Kejayaan yang dicapai oleh negara dalam memerangi Covid-19 termasuk PICK juga adalah hasil usaha mereka selain perancangan yang dibuat oleh Muhyiddin.
Kesimpulannya, semua itu membuktikan ‘kerajaan gagal’ hanyalah satu dakyah dan mereka yang melaung-laungkan slogan itu atau menyebarkan propaganda itu lupa…akhirnya kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan apatah lagi pembohongan!
Ia juga memberi isyarat bahawa Ismail Sabri melakukan tindakan yang tepat apabila melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN). Kalau ada yang mahu membantah biarkan sahaja kerana semua itu hanyalah bermotif politik.
Leave a Reply