Oleh MOHD LAZIM ENDUT
PROJEK pemasangan Panel Solar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Terengganu Kampus Dungun dengan perbelanjaan RM6 juta bakal menjadi perintis kepada projek solar di institusi pengajian tinggi awam di negeri ini.
Malah projek yang dimulakan pada Julai tahun lalu dan siap pada Disember merupakan satu kejayaan bagi universiti tersebut dalam membangunkan kemudahan penjanaan tenaga solar dan juga pembekalan tenaga elektrik penjanaan solar.
Menurut Ketua Projek Tenaga Solar UiTM Cawangan Terengganu, Dr Ermeey Abd Kadir, penggunaan teknologi tenaga solar memberi banyak kelebihan termasuk dari segi penjimatan, penjanaan tenaga dan penyelidikan.
Menurut beliau, sejak penggunaan solar, universiti itu dapat menjimatkan kos penggunaan elektrik di kampus antara RM50,000 hingga RM80,000 sebulan berbanding kos sebenar RM350,000 di mana ia bergantung kepada penggunaan.
“Selain penjimatan elektrik antara 15 hingga 20 peratus, projek solar ini juga mampu menjana pendapatan sebanyak RM700,000 melalui eksport tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya.
Ermeey memberitahu demikian kepada media selepas meninjau lokasi projek panel solar di UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun, hari ini.
Turut hadir ialah Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof Dr Mazidah Puteh.
Menurut Ermeey, projek pemasangan 3,885 panel solar di universiti itu membabitkan beberapa lokasi seperti dewan serbaguna, tempat letak kereta berbumbung dan juga di bahagian bumbung bangunan.
Beliau berkata, tenaga solar berkapasiti 1.6MW itu mempunyai tempoh matang sehingga 25 tahun dan pihaknya bercadang melaksanakan projek sama di UiTM kampus Chendering dan kampus Bukit Besi pada tahun hadapan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM3 juta.
Menurut beliau, pihaknya juga bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan mana-mana agensi milik kerajaan, swasta atau rakan institusi pengajian tinggi yang berminat menceburkan diri dalam penggunaan solar di tempat masing-masing.
Sementara itu, Ermeey memberitahu, UiTM Cawangan Terengganu akan memperkenalkan satu program baharu melibatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sistem Pintar yang dijangka dimulakan dua tahun lagi.
“Program pertama akan disertai 30 pelajar dan ia seiring dengan kehendak dan keperluan semasa di mana projek tenaga solar yang ada di sini juga akan menjadi salah satu aspek pembelajaran,” jelas beliau.
Leave a Reply