Oleh RIZQI ZABIDI
Berbaki kira-kira empat bulan menjelang penghujung 2021, pendapatan hasil kerajaan negeri Kedah pada tahun ini dijangka akan jauh mengatasi nilai dicatatkan pada tahun lalu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setakat 19 September 2021, pendapatan hasil negeri sudah pun mencecah hampir RM559 juta iaitu hanya kurang kira-kira RM1 juta berbanding nilai RM560.6 juta yang dicatatkan di sepanjang 2020.
“Kita menjangkakan dalam tempoh berbaki kira-kira empat bulan menjelang Disember 2021, sebanyak RM40 juta lagi dijangka mampu dikutip.
“Jumlah terimaan hasil setakat September tahun ini turut mengatasi nilai dicatatkan pada tempoh sama 2020 iaitu sebanyak RM397.06 juta dan RM476.46 juta pada 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ketua pembangkang, Datuk Phahrolrazi Zawawi (PH-Alor Mengkudu) yang bertanya mengenai jumlah pendapatan sebenar hasil kerajaan negeri pada 2020 dan 2021 pada sesi pertanyaan lisan, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menjawab soalan tambahan dikemukakan Phahrolrazi mengenai kemungkinan pengisytiharan bantuan baharu yang akan disalurkan kepada rakyat terjejas, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan menyediakan pinjaman mudah kepada golongan peniaga dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1 juta.
“Pinjaman mudah dengan kadar maksimum sebanyak RM5,000 itu akan dilaksanakan bermula Oktober.
“Dijangkakan kemudahan ini akan membantu golongan peniaga memulakan kembali perniagaan kecil-kecilan mereka yang terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Mohd. Azam Abd. Samat (Pas-Sungai Limau) mengenai ‘formula’ mencatatkan pertambahan pendapatan itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan langkah berjimat-cermat dalam berbelanja.
“Banyak program tidak dapat dilaksanakan akibat Covid-19. Oleh itu wang sepatutnya dibelanjakan untuk melaksanakan majlis program tersebut disimpan selain melaksanakan perbelanjaan secara berhemah.
“Sebab itu sekarang kita ada simpanan hingga RM600 juta yang menjadi pencapaian terbaik setakat ini. Insya Allah kita akan berusaha menambah pendapatan selepas ini terutamanya dengan memberi perhatian terhadap tunggakan-tunggakan besar,” katanya.
Leave a Reply