Islamofobia

‘Virus’ Islamofobia sama bahaya dengan COVID-19

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Islamofobia sebagai virus yang sama bahaya dengan COVID-19.

Memetik laporan Agensi Anadolu, Erdogan berkata demikian dalam pertemuan anjuran Jawatankuasa Pemandu Nasional Turki Amerika di New York City, semalam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pendirian Turki akan mengambil peranan utama dalam memerangi Islamofobia di platform antarabangsa.

“Kami sedang memerangi virus maut dan licik. Virus ini yang sama bahayanya dengan coronavirus, dikenali Islamofobia.

“Virus ini menular dengan sangat cepat,” katanya.

Erdogan menambah, Islamofobia berubah menjadi trend yang mengganggu kehidupan seharian umat Islam dan mengancam keamanan sosial.

Sebelum menyampaikan ucapannya, beliau mengunjungi Turkevi Centre yang terletak di 821 First Avenue di Manhattan berhampiran ibu pejabat PBB yang akan dibuka dalam masa terdekat.

Erdogan berkata, bangunan pencakar langit 36 tingkat itu adalah monumen kebanggaan yang akan berfungsi tidak hanya sebagai rumah bagi orang Turki tetapi juga untuk masyarakat Muslim Amerika.

Bangunan yang bermotifkan seni bina tradisional Turki, terutama daripada Empayar Seljuk dapat dilihat dari pusat bandar Manhattan, East River dan Long Island.

Ia direka sebagai pencakar langit simbolik yang akan menambah latar langit New York, antara bandar paling ikonik di dunia, dan mencerminkan budaya, sejarah dan kepelbagaian Turki.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *