siling

Kerajaan tingkat siling Kumpulan Wang COVID-19 RM110b

HAD siling Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM65 bilion ketika ini akan dinaikkan kepada RM110 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, had siling itu akan ditingkatkan selepas menerima kelulusan Kabinet.

“Had statutori hutang kerajaan Persekutuan juga akan dinaikkan daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 65 peratus daripada KDNK.

“Peruntukan ini akan digunakan untuk menolong rakyat dan perniagaan apabila ekonomi dibuka semula kerana sememangnya kita tahu, banyak peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro, terutamanya dalam sektor runcit dan pelancongan banyak terjejas,” katanya dalam rancangan temu bual Optik@Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) menambah, kerajaan juga sedang memberi fokus kepada pembukaan ekonomi terutamanya untuk tahun depan dengan seluruh ekonomi dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir tahun ini dengan norma baharu.

Tengku Zafrul memberitahu, PPN adalah pelan yang dinamik dan kerajaan menggunakan data semasa yang terkini untuk membuat keputusan yang akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

“Di sini juga kita akan menggunakan laporan terbaharu yang bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa untuk kita membuat keputusan.

“Jadi apa yang kita dapat lihat, sebagai contoh, dos penggalak, kita akan membuat dos penggalak dalam masa terdekat. Perkara ini pun sudah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkongsi dalam hantaran Facebook maklumat tentang program penyampaian bakul makanan kepada para penerima di sekitar Johor Bahru.

Beliau berkata, acara tersebut menyaksikan Kementerian Kewangan dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bermuafakat dan berganding bahu bagi menjayakannya.

“Syukur, acara ‘BSN Care—Bakul Makanan Untuk Yang Memerlukan’ telah berjalan dengan lancar. Turut bersama saya dalam program itu adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato Asri Hamidon, YB Datuk Samsolbari Jamali mewakili Kerajaan Negeri Johor, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Pengarah BSN Negeri Johor, Mohamad Zulkarnain Ismail.

“Sumbangan bakul makanan ini turut dijayakan dengan kerjasama jawatankuasa masjid, surau dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum India, Cina dan lain-lain. Melalui kerjasama mereka, 1,000 bakul makanan dapat disalurkan kepada penerima yang layak. Sememangnya program ini menghidupkan lagi erti ‘Keluarga Malaysia’,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, program itu sangat bermakna kerana ia merupakan peluang bertemu dengan rakyat di Johor Bahru sambil membantu mereka pada musim serba mencabar ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *