Kelantan dijangka beralih Fasa 3 PPN – Dr. Zaini

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KELANTAN dijangka beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada akhir bulan ini atau selewat-lewatnya awal Oktober.

Ini susulan 75 peratus individu dewasa di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat semalam.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Hussin berkata beberapa kriteria perlu dipertimbangkan seperti liputan vaksinasi dan trend kes harian COVID-19, sebelum peralihan tersebut.

“Insya-Allah kita akan terus melakukan aktiviti-aktiviti termasuk program jangkauan luar (outreach) kepada golongan yang belum disuntik dan kita yakin sasaran 80 peratus rakyat disuntik akan tercapai pada akhir bulan ini atau awal bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Vaksinasi Orang Asli Gua Musang di Pos Gob di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat semalam penduduk negeri ini yang telah menerima vaksinasi penuh ialah kira-kira 35 peratus.

Dr. Zaini berkata peningkatan kadar suntikan vaksin juga menunjukkan perkembangan positif apabila kemasukan pesakit COVID-19 tahap serius ke hospital telah berkurangan.

“Walaupun kes harian Covid-19 di negeri ini masih mencatat empat angka sejak 10 September lepas, namun secara majoriti, iaitu 95 hingga 97 peratus pesakit Covid-19 yang kita terima adalah kategori satu dan dua.

“Bagaimanapun, saya ingin tegaskan kepada rakyat Kelantan, walaupun telah disuntik jangan berasa kita 100 peratus dilindungi. Prosedur operasi standard (SOP) norma baharu perlu terus kekal dipatuhi dan diamalkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan vaksin sebanyak 1.2 juta dos yang diterima sepanjang bulan ini, Dr Zaini berkata, pihaknya mengambil inisiatif melakukan pemberian vaksin secara jumpa terus (walk-in) untuk memaksimumkan kadar vaksinasi.

Katanya kira-kira 120,000 penduduk daripada 1.2 juta populasi dewasa di negeri itu yang layak divaksin masih belum menerima suntikan.

“Kita belum pasti sama ada mereka berada di Kelantan atau di luar, namun saya berharap mereka yang belum disuntik agar segera datang ke mana-mana pusat pemberian vaksin untuk menerima suntikan memandangkan kita telah melakukannya secara ‘walk-in’,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *