Bomba sedia hadapi banjir, 20 peratus cuti sahaja dibenarkan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah bersiap sedia dalam menghadapi musim tengkujuh termasuk hanya memberikan 20 peratus cuti kepada anggotanya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, pembekuan cuti kebanyakan anggota JBPM itu bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan semasa banjir.

“Cuti anggota hanya sekitar 20 peratus (diberikan) kerana ada anggota yang perlu bercuti dalam tempoh tersebut tetapi kita akan beri keutamaan kepada usaha membantu menguruskan mangsa bencana.

“Bulan September monsun timur laut hampir tiba khususnya melibatkan negeri pantai timur seperti Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor yang memang biasanya terdedah kepada banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Johor, Johor Bahru hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Dr. Ismail berharap anggota bomba akan menggunakan pengalaman sebelum ini untuk meningkatkan kecekapan berdepan dengan banjir.

Sementara itu, Yahaya dalam ucapannya berkata, JBPM Johor telah menerima sejumlah 12,986 panggilan kecemasan dalam tempoh bermula Januari hingga Ogos tahun ini, peningkatan berbanding jumlah panggilan 11,801 yang diterima pihaknya dalam tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 3,623 adalah panggilan kebakaran, 6,516 adalah panggilan penyelamatan dan 2,840 adalah panggilan khas seperti khidmat kemanusiaan,” ujarnya.

Untuk rekod, hanya tujuh panggilan merupakan panggilan palsu daripada keseluruhan 12,986 panggilan yang diterima.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *