Love scam guru wanita

Wanita rugi RM395,200 ditipu ‘CHONGWEI4580’

RAHIMI MOHAMAD

SEORANG wanita berputih mata setelah kerugian RM395,200 akibat terjerat penipuan love scam membabitkan seorang lelaki yang kononnya tinggal di London, United Kingdom.

Mangsa yang juga peniaga berusia 23 tahun itu hanya menyedari ditipu selepas membuat 24 transaksi melibatkan 11 akaun berbeza antara 13 hingga 15 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, satu laporan polis diterima selepas mangsa membuat laporan polis semalam.

Katanya, mangsa mengenali suspek lelaki warga asing itu melalui laman sosial Instagram yang menggunakan nama akaun “CHONGWEI4580” pada penghujung April lalu.

Tambahnya, sepanjang perkenalan itu mangsa telah berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sehingga jatuh cinta dengan suspek.

“Pada 10 September lalu, mangsa yang baru kematian suami telah dihubungi suspek yang kononnya bersimpati dengan nasib mangsa ingin mengirimkan barangan yang mengandungi wang tunai USD950,000 kepadanya.

“Tiga hari berselang, mangsa telah menerima emel dari syarikat penghantaran yang beroperasi di Korea Selatan yang meminta mangsa menjelaskan bayaran sebanyak RM6,200 bagi tujuan melepaskan barangan tersebut dari pihak Kastam.

“Wanita itu turut diugut sekiranya enggan membuat bayaran tersebut dan bayaran-bayaran lain yang diarahkan suspek, mangsa akan ditangkap kerana bersubahat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

“Mangsa berasa takut mengikuti segala arahan yang diberikan suspek sehingga mengalami kerugian sebanyak RM 395,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila tidak menerima sebarang kiriman yang dijanjikan setelah mẹmbuat 24 transaksi tersebut.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda.

“Polis Johor menyeru dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan trend jenayah semasa yang berlaku terutamanya melibatkan transaksi belian online, pelaburan dan perkenalan atas talian melalui sosial.

“Gunakan aplikasi semakan atas talian yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa seperti Semak Mule sebelum melakukan sesuatu transaksi kewangan,” ujarnya.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah bolehlah disalurkan secara terus menerusi infoline JSJK di talian 013-2111222 atau boleh menghubungi bilik gerakan kontinjen johor di talian 07-2254074 atau mana-mana balai polis berhampiran


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *