Tempoh sidang DUN Kedah ikut saranan KKM

Oleh RIZQI ZABIDI

KEPUTUSAN untuk memendekkan tempoh Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bermula Isnin ini daripada tujuh kepada hanya empat jam sehari, dibuat setelah menerima saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, saranan KKM itu bersandarkan kepada faktor keselamatan memandangkan Kedah masih berada di fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sekali pun semua ADUN telah mendapat dua dos suntikan vaksin, namun untuk berada di tempat tertutup dalam tempoh lama tetap mendatangkan risiko.

“Apatah lagi ketika ini kita sedang berdepan ancaman varian Delta dan Gamma,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

ADUN Jitra, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada Rabu lalu mempertikaikan langkah tersebut kerana mendakwa tempoh masa persidangan itu tidak mencukupi untuk semua pihak menyuarakan masalah serta isu-isu rakyat.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu mendesak supaya tempoh persidangan dipanjangkan dan jika tidak katanya, rakyat boleh beranggapan bahawa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor amat takut untuk menghadapi kritikan hebat pembangkang.

Mengulas lanjut Mohd. Azam berkata, penjelasan berhubung perkara itu sebenarnya telah diberikan kepada ADUN-ADUN Kedah oleh KKM melalui sidang maya pada 13 September lalu namun Mukhriz tidak menyertainya dan sekadar menghantar wakil yang menyebabkannya tertinggal informasi.

Katanya, sidang yang diadakan selama empat hari berturut-turut itu juga cukup untuk memutuskan perkara-perkara penting mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Sekali pun persidangan ini disingkatkan, namun sesi soal jawab pertanyaan lisan, perbahasan ADUN dan penggulungan EXCO serta MB, tetapi diadakan.

“Jika Mukhriz memiliki cadangan, soalan mahu pun kritikan demi kebaikan semua, beliau boleh mengemukakannya melalui pelbagai kaedah serta platform kerana tidak semua perkara harus diselesaikan dalam Sidang DUN semata-mata,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya Muhammad Sanusi juga sangat terbuka untuk mendengar apa-apa cadangan dari Mukhriz pada bila-bila masa yang sesuai.

“Oleh kerana sidang DUN kali ini singkat pada pandangannya, saya harap beliau dapat hadir sepenuhnya sepanjang tempoh persidangan berlangsung,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *