Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SERAMAI 34 peniaga dikesan menjual kit ujian kendiri antigen Covid-19 melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.
Menurut Rosol, peniaga terbabit dikesan hasil pemeriksaan ke atas lebih 1,800 farmasi, klinik dan premis yang menjual kit ujian kendiri antigen Covid-19 di seluruh negara bermula dari 5 hingga 17 September.
Daripada jumlah itu katanya, didapati 1,552 peniaga menjual kit ujian ini mengikut harga kawalan ditetapkan manakala 185 premis lagi menjual di bawah harga RM19.90.
“Bagaimanapun, setakat ini hanya satu kompaun bernilai RM250 dikeluarkan kerana menjual melebihi harga maksimum,” katanya.
Beliau memberitahu demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.
Sementara itu, mengenai kenaikan harga ikan hingga RM2 sekilogram dalam pasaran, Rosol mengesahkan berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, pihaknya ada menerima aduan mengenai kenaikan tersebut dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membuat pemantauan.
Katanya, berdasarkan aduan diterima, ikan selayang sekarang dijual dengan harga RM16 satu kilogram manakala ikan kembung semalam dijual mencecah RM22 sekilogram.
Leave a Reply