Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
AKIBAT terlalu ingin menjaga hati dan perasaan kekasih sejenisnya, seorang peniaga lelaki kerugian sebanyak RM580,000 setelah diperdaya ‘teman lelakinya’ itu yang mendakwa kerabat istana sejurus mangsa berkenalan menerusi aplikasi sembang sosial golongan sejenis pada Mei lalu.
Malah, suspek yang menggunakan gelaran Tengku itu mengugut untuk menyebarkan video bogel mangsa berusia 20-an itu sekiranya enggan memindahkan wang seperti diminta.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, mangsa mula berkenalan dengan suspek melalui aplikasi sembang sosial golongan sejenis pada 30 Mei lalu dan pada keesokan harinya suspek bertanyakan tentang emas.
Menurutnya, mangsa memberitahu bahawa ibunya memiliki barang kemas bernilai RM370,000, menyebabkan suspek meminta peniaga itu menyerahkan barangan berkenaan untuk dilihatnya sebagai bukti kesetiaan dan kasih sayang mangsa terhadapnya.
Katanya, mangsa yang terpedaya dengan janji-janji suspek untuk memulangkan semula barangan kemas itu membuat penghantaran secara dua peringkat pada 31 Mei menggunakan perkhidmatan teksi, diikuti pada 2 Jun lalu dengan Grabcar.
“Kedua-dua penghantaran tersebut ditujukan kepada pembantu peribadi ‘Tengku’ yang kononnya berada di Kota Bharu,” ujarnya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Shafien, sepanjang tempoh berkenalan, mangsa juga turut membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM201,000 ke dalam dua akaun bank milik pihak ketiga bagi membuktikan kesetiaan dan kasih sayang, malah mangsa turut dijanjikan hadiah sebuah trak pikap.
Shafien memberitahu, mangsa membuat laporan polis pada Selasa lalu setelah dia berasa ditipu suspek kerana mereka tidak pernah berjumpa seperti dijanjikan di samping suspek juga tidak memulangkan semula barangan emas milik ibunya.
“Selain itu,suspek terus memaksa mangsa supaya menyerahkan wang kepadanya termasuk mengugut akan menyebarkan video bogel mangsa.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum hingga 10 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda,” ujar beliau.
Sehubungan itu Shafien mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa berurusan dalam talian dan tidak mudah terpedaya dengan janji manis individu baru dikenali bagi mengelak terperangkap dengan
sindiket Love Scam.
Shafien menyarankan orang ramai memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’ untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon digunakan sama ada pernah terbabit dalam kes jenayah komersial.
“Selain itu semakan secara terus kepada pihak kami apabila menerima panggilan meragukan juga boleh dibuat atau menghubungi ‘CCID Scam Response Centre’ di talian 03-26101559 dan 03-26101599 yang ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membuat pertanyaan berkaitan jenayah love scam/parcel scam atau lain-lain jenayah penipuan siber,” jelas beliau.
Leave a Reply