kecemerlangan sukan

Atlet Paralimpik terima ganjaran RM100,500 dari Yayasan OSK

PENCAPAIAN luar biasa atlet negara di Sukan Paralimpik 2020 terus mendapat perhatian pelbagai pihak dan hari ini mereka menerima insentif kewangan daripada Yayasan OSK, cabang amal Kumpulan OSK.

Yayasan itu menyumbangkan ganjaran berjumlah RM100,500 untuk diagihkan kepada 22 atlet para negara dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Dalam majlis yang berlangsung menerusi aplikasi Zoom, atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou (badminton) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh) yang memenangi pingat emas di Tokyo menerima RM15,000 setiap seorang, sementara pemenang perak Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) masing-masing membawa pulang RM10,000.

Sebagai tambahan, lain-lain atlet Paralimpik Malaysia menerima RM1,500 seorang di atas kesungguhan dan dedikasi mereka sementara RM10,000 juga disumbangkan kepada (MPM) di atas usahanya dalam menyokong pembangunan gerakan paralimpik di dalam negara.

“Kami sangat berterima kasih dan berbesar hati untuk menyokong atlet yang menunjukkan bakat luar biasa dan kesungguhan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 biarpun menghadapi kekangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan OSK, Cheryl Ong.

Pencapaian mereka memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia (bukan hanya mereka yang kurang upaya) untuk menjalani hidup yang aktif dan penuh azam, mempercayai kebolehan sendiri, bekerja lebih keras dan berani untuk memiliki impian besar.”

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin amat gembira dengan apa yang dilakukan Yayasan OSK.

“Saya akui ini adalah sumbangan terbesar daripada sesebuah organisasi swasta sebagai penghargaan kepada atlet para kita dan MPM. Dengan sumbangan dan semangat yang diberikan, saya rasa bertenaga semula untuk mengetuai dan memacu pergerakan sukan para di dalam negara ke peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap lebih banyak organisasi korporat akan tampil ke hadapan untuk melengkapkan usaha kerajaan mempromosi pergerakan sukan untuk 15 peratus daripada masyarakat kita yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya di negara ini,” katanya. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *