Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta Perodua Iswara dipandu ibunya selepas terlibat kemalangan dengan Perodua Myvi sebelum terbalik di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau, Tenom, semalam.
Nahas pada pukul 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.
Ibu mangsa pula yang berusia 54 tahun hanya mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Tenom.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, mangsa tercampak keluar dari kenderaan selepas Proton Iswara dipandu ibunya bertembung dengan Perodua Myvi.
“Ibu mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Pemandu Perodua Myvi bersama-sama anaknya tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hasan berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply