warga ATM

Peranan besar warga ATM bantu urus pandemik

PERANAN yang dimainkan warga Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) dalam membantu pengurusan pandemik COVID-19 negara sebagai barisan hadapan keselamatan adalah amat besar sekali.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dari penglibatan dalam operasi sekatan jalan raya ke memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP), membantu proses pengurusan logistik vaksinasi dan mengatur pembinaan hospital medan untuk merawat pesakit yang dijangkiti COVID-19, warga ATM sentiasa terus menyumbang kepada usaha memerangi COVID-19 di seluruh pelusuk negara.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berharap, keutuhan ATM sebagai institusi yang merupakan salah satu tiang seri utama negara dapat terus diperkukuh dan diperkasa terutamanya dalam kita sama-sama menempuh proses pemulihan negara yang amat mencabar.

“Saya juga yakin dan percaya bahawa sebagai instituisi pertahanan yang disegani di rantau Asia Tenggara, ATM akan terus meningkatkan kesiapsiagaan untuk terus mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air kita yang tercinta dalam apa jua keadaan.

“Marilah kita juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan al-Fatihah kepada wira dan wirawati negara yang sudah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

“Semoga Allah swt sentiasa melindungi warga ATM dalam melaksanakan tugas dan amanah melindungi ibu pertiwi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sempena Hari ATM ke-88, Muhyiddin menyatakan penghargaan terhadap semua pegawai dan anggota tentera sebagai wira dan wirawati bangsa dalam memelihara keselamatan negara amat dihargai.

“Dalam waktu aman dan ketika kita berhadapan ancaman, ATM tetap teguh menjadi benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan negara,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *