Oleh RIZQI ZABIDI
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan sokongan terhadap usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 terhadap individu yang melancong ke Langkawi, mulai hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya menyokong perkara itu kerana yakin langkah tersebut dibuat dengan niat yang baik dan akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak.
“Sebelum ini memang saya sebut tak perlu buat ujian saringan Covid-19 jika hendak datang melancong ke Langkawi kerana telah ditetapkan kriteria utama untuk mereka yang hendak datang ke sini, perlu lengkap menerima dua dos vaksin.
“Lagi pun Langkawi sudah mencapai imuniti kelompok apabila 89.3 peratus penduduknya sudah divaksin setakat 9 September lalu. Namun keputusan dibuat KKM ini merupakan satu langkah yang baik dan kita turut menyambutnya dengan baik dan menyokongnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Pelancongan Sempena Pembukaan Semula Langkawi Sebagai Destinasi Rintis Pelancongan Domestik di Pusat Konvensyen Antarabangsan Langkawi (LICC), yang disempurnakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, malam tadi.
Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi satu kenyataan memaklumkan, kerajaan menetapkan supaya setiap pelancong yang hendak berangkat ke Langkawi, perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 terlebih dulu sebelum memulakan perjalanan.
Menurut Khairy, ujian pengesanan itu akan dilakukan terhadap individu dewasa berusia 18 tahun ke atas serta remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.
Nancy menambah, segala urusan berkaitan pelaksanaan ujian itu akan dilaksanakan oleh KKM.
“Tidak dinafikan pengumuman semalam mungkin agak mengelirukan. Malah ada yang tanya mengapa hari ini hendak buka Langkawi, semalam baru umum?
“Memang pengumuman itu agak lewat namun kita berpendirian biar lambat, asalkan semuanya selamat,” katanya.
Sementara itu Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau dimaklumkan terdapat syarikat swasta yang dilantik untuk menjalankan ujian tersebut di terminal feri dan penerbangan sebelum para pelancong di Langkawi berangkat ke pulau legenda itu.
“Hanya mereka yang negatif Covid-19 saja dibenarkan meneruskan penerbangan. Saya difahamkan, akan ada juga pegawai dari Jabatan Kesihatan yang bertindak memerhatikan pelaksanaan ujian itu sepanjang ia berlangsung bagi memastikan prosedurnya betul.
“Apabila sampai di Langkawi, saringan akan diteruskan dengan pengambilan suhu. Jika suhu tinggi dan terdapat simptom tertentu, individu berkenaan akan dibawa ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya.
Katanya, pelancong yang disahkan positif pula akan dibawa ke hospital atau PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19) di Lapang sasar Antarabangsa Langkawi Malasyia (LISRAM).
Leave a Reply