Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
WALAUPUN pergerakan para pelancong khususnya dari luar Terengganu masih lagi ‘tersekat’, namun orang ramai tetap menjadikan Tasik Kenyir, di Hulu Terengganu sebagai destinasi percutian pilihan di negeri ini.
Ini terbukti, apabila seramai 4,582 telah mengunjungi tasik berkenaan dalam tempoh 15 hari selepas ia dibuka semula kepada orang ramai sejak 1 September lalu.
Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris, sambutan diterima daripada para pengunjung setakat ini amat menggalakkan dan ini secara tidak langsung memberi impak positif terhadap ekonomi penggiat industri pelancongan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, ketika ini kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir masih dikawal dengan mensyaratkan prosedur operasi standard (SOP) sepertimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Berdasarkan perkembangan menggalakan ini kata Razali, beliau percaya jumlah pengunjung dijangka terus meningkat dari masa ke semasa.
Malah katanya, inisiatif dilakukan penggiat industri khususnya melibatkan pengusaha rumah bot yang menawarkan pakej istimewa dan potongan harga antara lima hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah hari tempahan, hujung minggu atau hari biasa kepada pengunjung orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar turut menarik perhatian orang ramai.

“Difahamkan, banyak tempahan sudah diterima pengusaha rumah bot Tasik Kenyir sepanjang bulan September dan Oktober,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut Razali, buat masa ini aktiviti dan destinasi lawatan masih lagi terhad kerana kebanyakan lokasi utama seperti Taman Herba, Santuari Kelah dan Taman Negara masih ditutup berikutan Terengganu sebelum ini masih berada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Namun katanya, suasana dijangka bertambah meriah selepas Terengganu beralih kepada Fasa Tiga PPN bermula Jumaat esok.
“Walaupun kesemua penggiat pelancongan di Tasik Kenyir sudah lengkap menerima dua dos vaksin pada bulan lalu, kita berharap mereka akan terus mematuhi SOP.
“Begitu juga dengan orang ramai yang ingin bercuti di sana, mereka perlu sentiasa mengikut peraturan ditetapkan,” jelas beliau.
Leave a Reply