Terengganu beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara

TERENGGANU menjadi negeri terbaharu bakal beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat, 17 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran yang diberikan bagi Terengganu adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa 3 sebelum ini.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP walaupun kerajaan telah memberikan lebih banyak kelonggaran.

“Kesediaan kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama lebih setahun ini. Justeru, saya berharap kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup separuh muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Pihak penguatkuasa akan sentiasa memantau dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ada pihak melanggar garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika hanya Labuan merupakan satu-satunya negeri atau wilayah yang berada dalam Fasa 4 PPN manakala Perlis, Sarawak, Negeri Sembilan dan terbaharu Terengganu dalam Fasa 3.

Enam negeri lain iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Sabah dan Melaka berada dalam Fasa 2.

Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut berada dalam Fasa 2.

Hanya Kedah dan Johor masih berada dalam Fasa 1 PPN.

*Kelonggaran bagi sektor pekerjaan,ekonomi Fasa 1

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa kelonggaran bagi sektor pekerjaan dan ekonomi berkuat kuasa Jumaat ini.

Kata beliau, jenis perniagaan yang dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa 1 PPN termasuk:

a. Kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi;
b. Kedai barangan terpakai;
c. Kedai bunga/ nurseri;
d. Kedai kraftangan dan cenderahati;
e. Kedai antik;
f. Kedai alat permainan;
g. Kedai permaidani;
h. Kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif;
i. Kedai outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan
lain-lain);
j. Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi;
k. Kedai tembakau (termasuk vape / rokok elektronik).

Bagi kelonggaran di negeri Fasa 2 pula, semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi seperti berikut.

Semua pejabat swasta DIBENARKAN beroperasi seperti berikut:
a. Kapasiti 60% pekerja sekiranya 40% pekerja telah lengkap vaksin
b. Kapasiti 80% pekerja sekiranya 60% pekerja telah lengkap vaksin
c. Kapasiti 100% pekerja sekiranya 80% pekerja telah lengkap
vaksin

  • Kenderaan pekerja dengan penumpang lengkap vaksin DIBENARKAN dengan 100% kapasiti kenderaan
  • Kilang Perabot DIBENARKAN beroperasi

Selain itu, mesyuarat secara bersemuka turut dibenarkan kepada individu yang telah lengkap vaksin bagi sektor pekerjaan dan ekonomi di Fasa 2, 3 dan 4 PPN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *