
BEKAS Ketua Pengarah JASA, Dr.Puad Zarkashi tiba-tiba ‘melompat’ apabila mengetahui ahli Parlimen kerajaan menolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada masa sama, pemilihan yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan ke persidangan akan datang iaitu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.
Usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penangguhan itu bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.
“Kita mungkin akan membuat satu peraturan supaya salah seorang daripada timbalan speaker yang dipilih nanti akan disandang oleh wakil pembangkang,” katanya ketika mengusulkan penangguhan pemilihan itu.
Sebagai seorang ahli politik berpengalaman yang pernah menjadi Ahli Parlimen walaupun hanya sepenggal (2008-2013) sebelum tewas dalam PRU-13 serta tidak bertanding dalam PRU lalu , Puad sepatutnya meneliti dahulu apa yang berlaku sebelum membuat posting dalam media sosial.
Dari awal lagi, semua orang tahu malah pelajar universiti pun faham, sejak penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah ada syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh UMNO bahawa mana-mana ahli Parlimen yang ada kes mahkamah tidak akan dibenarkan memegang apa jawatan dalam kerajaan.
Walaupun sekarang jawatan Perdana Menteri sudah dipegang oleh UMNO tetapi ia tidak bermakna dasar tersebut berubah kerana ini bukan Kerajaan Barisan Nasional! Lagi pula sebelum ini semua pemimpin UMNO termasuk Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ‘turut redha’.
Justeru Puad tak perlulah membuat isu soal penolakan terhadap pencalonan Ahmad Maslan. Sepatutnya sebagai salah seorang yang ‘bijaksana’, beliau boleh memberi nasihat kepada kepemimpinan UMNO supaya tidak mencalonkan Ahmad Maslan bagi mengelakkan masalah timbul.
Tetapi UMNO mahu jugak berbuat demikian, jadi apabila ada penolakan daripada parti lain, Puad patut terima sahajalah. Tambahan pula, penolakan itu bukan bermakna jawatan tersebut tidak akan diberikan kepada UMNO, cuma UMNO kenalah tukar calon, itu sahaja.
Apa salahnya, kalaupun betul kerajaan ‘minta ehsan’ PH untuk mengeluarkan agenda memilih Timbalan Speaker daripada senarai aturan Parlimen hari ini. Ia bagi memberi masa kepada UMNO memilih calon lain, selain pindaan Perlembagaan dilakukan bagi membolehkan tiga orang menduduki jawatan itu.
Kenapa nak bangkitkan soal salah satu daripadanya diberikan kepada pembangkang? Salahkah? Bukankah sebelum ini Azalina juga mencadangkan kekosongan yang beliau ditinggalkan diberikan kepada pembangkang?
Tidak timbul soal ‘double standar’ bila Puad mempersoalkan kenapa Lim Guan Eng yang juga ada kes mahkamah boleh mewakili DAP dalam menandatangani MoU antara Kerajaan dan PH semalam.
Mungkin Puad tidak faham atau buat-buat tak faham. Guan Eng bukan naik ke pentas untuk bertanding menjadi calon DAP untuk tandatangan MoU itu…sebaliknya memang beliau berhak mewakili parti tersebut sebagai Setiausaha Agung.
Guan Eng tidak bertanding apa-apa jawatan seperti mana dilakukan oleh Ahmad Maslan dan percayalah kalau pun Guan Eng bertanding beliau tetap akan ditolak oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan kerana beliau juga dikategorikan sebagai ‘kluster mahkamah’.
Apapun terima kasih kepada Puad kerana mengingatkan, ‘’Semoga Perdana Menteri tidak membiarkan dirinya nampak lemah dan mudah ditekan, membimbangkang sampai tahap pinda Perlembagaan.’’
Ingatan itu juga turut boleh ditujukan kepada pemimpin-pemimpin UMNO kerana kita pun tahu bagaimana gelagat dan tekanan yang diberikan sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.
Oleh itu selepas ini Puad duduk diam-diam, jika Ismail Sabri menggunakan kuasa dan kedudukan bagi memastikan beliau ‘tidak nampak lemah dan mudah ditekan’. Boleh?FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare
Leave a Reply