Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
KRISIS bekalan air yang menyebabkan 28,700 akaun pengguna di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu terjejas baru-baru ini berpunca daripada paip pecah di dasar Sungai Terengganu setelah paip tersebut hilang sokongan akibat kawasan itu mengalami hakisan sejauh 80 meter.
Menurut Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh , akibat kehilangan sokongan di dasar sungai paip berkenaan tergantung pada jarak 80 meter dan patah.
Beliau memberitahu, paip itu dilaksanakan pada tahun 2003 dan siap 2006, Ia ditanam sedalam antara 1.5 hingga 2 meter.
“Namun, setelah siasatan dilakukan pada tahun ini, kawasan berkenaan telah terhakis sejauh 80 meter,” katanya.
Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepuh) berhubung kejadian kebocoran paip air di dasar Sungai Terengganu awal Ogos lalu pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut Dr. Mamad, di lokasi itu juga terdapat 12 pengusaha pasir yang
melakukan kerja-kerja mengorek pasir pada jarak lima kilometer dari kawasan tersebut sejak 10 tahun lalu.
Daripada jumlah itu katanya, tujuh pengusaha masih aktif menjalankan aktiviti manakala lima lagi telah menghentikan operasi.
Katanya, ketika permohonan menyedut pasir dibuat dan diluluskan, tiada makluman daripada mana-mana agensi kerajaan mengatakan terdapat paip air ditanam di kawasan tersebut.
“Sepatutnya apabila ada permohonan tanah atau urusan berkaitan pasir, seharusnya ada ulasan dari agensi-agensi kerajaan, namun pada waktu itu tidak ada mana-mana agensi yang memberitahu perkara itu, seolah-olah paip air di dasar sungai, itu tidak wujud, itu yang menjadi masalah,” ujarnya.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di luar dewan, Dr. Mamad berkata, kerajaan bercadang untuk memperkasakan fungsi Jabatan Bekalan Air (JBA) supaya masalah sama tidak berulang pada masa akan datang.
Katanya, ini akan membolehkan JBA menyimpan maklumat semua paip yang ada di dasar Sungai Terengganu dan aset kerajaan lain dalam satu sistem sebagai rujukan apabila ada permohonan atau projek yang hendak dijalankan di satu-satu kawasan.
“Bagi peringkat daerah yang ada sungai, kita akan wujudkan satu unit diketuai pegawai daerah untuk memantau semua aktiviti korek pasir dan perusahaan pasir dari masa ke masa,” jelasnya.
Leave a Reply