Kemasukan ke IPT secara berperingkat mulai 15 Oktober – Noraini

KEMASUKAN pelajar-pelajar ke semua institusi pengajian tinggi (IPT) secara fizikal ke kampus masing-masing akan dilakukan secara berperingkat mulai 15 Oktober depan mengikut kalendar akademik masing-masing, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Kataya, kemasukan pelajar yang lengkap divaksin ke IPT ini melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa PPN dimana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

‘’Hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja yang dibenarkan masuk ke kampus.

‘’Perkara ini adalah tertakluk kepada kapasiti IPT, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Ini merupakan satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan herd immunity di kampus,’’ katanya pada sidang akhbar hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, IPT perlu membuat perancangan yang teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan, dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan yang ketat.

Noraini menjelaskan,  bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.

‘’Proses kemasukan pelajar ini akan menggunakan SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT. Keberadaan warga IPT yang telah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN di dalam kampus. Jadinya, SOP yang ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk,’’ katanya.

Beliau memberitahu, bagi melancarkan proses kemasukan pelajar ini, KPT dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang giat melaksanakan Program VACC2Campus bagi meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka.

‘’KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh mendapat vaksin dan berdaftar dengan mySejahtera, akan menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober 2021. Sehingga kini, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin,’’ katanya.

Noraini menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin, untuk segera berbuat demikian dan bagi tujuan itu mereka  boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin.

‘’Pelajar dan kakitangan IPT hanya perlu bawa kad pelajar/kad pekerja dan kad pengenalan/passport. Bagi pelajar baharu, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT berserta dengan kad pengenalan/passport,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *