KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan pelajar-pelajar di semenanjung yang akan kembali ke kampus masing-masing mulai 15 Oktober ini hanya memerlukan surat kebenaran kembali kampus daripada intitusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.
Menterinya,Datuk Seri Dr.Noraini Ahmad berkata, bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan, ia tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.
‘’Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada Polis Diraja Malaysia dan menjalani Ujian Swab RT-PCR. Ujian ini akan diberikan secara percuma di klinik-klinik kesihatan kerajaan,’’ katanya pada sidang media hari ini.
Mengenai kemasukan pelajar antarabangsa, beliau memaklumkan kebenaran masuk ke Malaysia bagi tiga kategori.
‘’Pertama, pelajar warganegara United Kingdom (UK) yang sebelum ini kemasukannya disekat, kedua, pelajar antarabangsa yang mengikuti program-program Mobiliti dan Edutourism; dan ketiga, tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini.
Beliau berkata, bagi pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
‘’Ujian Swab RT-PCR COVID-19 perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia. Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan,’’ katanya.
Leave a Reply