Ahli Parlimen, petugas wajib jalani ujian RTK setiap Isnin, Rabu

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mewajibkan semua ahli Parlimen dan pegawai bertugas menjalani ujian RTK berkala pada setiap Isnin dan Rabu sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat bagi mengawal penularan Covid-19.

Menurut Azhar, saringan berkala itu akan dijalankan di Dewan Bankuet dan Dewan Serbaguna yang dijangka mengambil masa kira-kira 20 minit.

“Ahli-ahli Parlimen juga disyorkan melakukan sistem penggiliran ketika berada dalam dewan.

“Pasukan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) akan berada di Parlimen untuk pastikan peraturan berjalan. Ahli Parlimen digalakkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka ‘face shield’ ketika dalam Parlimen.

“Pengurusan Parlimen juga sudah menambah baik sistem pengudaraan dan penyaman udara,” katanya ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Parlimen hari kedua bermula pada hari ini dengan kebenaran masuk ke Parlimen bagi petugas media dan pegawai diperketatkan.

Selain perlu menjalani ujian RT-PCR, petugas media juga dihadkan pergerakan di dalam Parlimen dan hanya perlu berada di bilik media.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 28 individu termasuk dua ahli Parlimen dan seorang Senator disahkan positif COVID-19 dalam ujian saringan yang dibuat sempena sidang Parlimen.

Beliau berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen manakala Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *