SERAMAI 446 anak kapal dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk Pasukan Khas Udara TUDM (PASKAU) serta pesawat TUDM terlibat dalam Eksesais ABABIL 2021 selama empat hari bermula 7 hingga 10 Sept lalu.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang berkata eksesais berkenaan diadakan di Pangkalan Udara Labuan, Lapang Sasar Udara Kota Belud dan kawasan perairan Laut China Selatan.
Beliau berkata eksesais antara terbesar pernah dilaksanakan oleh TUDM itu bertujuan menguji keupayaan, kompetensi dan kesiagaan pesawat dan anak kapal TUDM.
“Eksesais ABABIL di Lapang Sasar merangkumi latihan tembakan misil udara ke udara, tembakan misil udara ke permukaan dan tembakan udara ke permukaan bumi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Eksesais ABABIL di Lapang Sasar Udara, Kota Belud, di sini hari ini.
Affendi berkata latihan itu membabitkan pesawat TUDM daripada pelbagai kategori antaranya pesawat tempur iaitu F/A-18D Hornet, Sukhoi SU-30MKM dan Hawk 208, pesawat angkut Hercules C130H, pesawat maritim- Beechcraft B200T dan pesawat helikopter – EC 725 AP.
Beliau berkata demonstrasi tembakan udara ke permukaan bumi pada hari ini menyaksikan pesawat pejuang TUDM membuat tembakan ke sasaran yang dikenal pasti.
Affendi berkata penembakan kesemua aset persenjataan yang mengenai sasaran jelas membuktikan tahap profesionalisme, kepakaran, keupayaan dan kesiagaan warga serta aset-aset tempur TUDM dalam misi dan operasi pertahanan negara.
“Kejayaan latihan pada hari ini merupakan hasil komitmen dan pengorbanan mereka yang tidak terhingga bagi memastikan kesiagaan TUDM sentiasa berada pada tahap tertinggi demi kedaulatan negara,” katanya.- BERNAMA
Leave a Reply