JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia turun kepada sebanyak 15,669 kes hari ini berbanding 16,073 jangkitan semalam.
Penurunan 404 kes itu, juga yang terendah dalam tempoh beberapa bulan sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 setakat ini ialah sebanyak 2,011,440 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kembali menerajui ‘takhta’ kes harian Covid-19 selepas Sarawak mempertahankan kedudukan itu selama sembilan hari berturut-turut.
Kes harian di Selangor naik 685 kes kepada 2,632 berbanding 1,947 kes semalam.
Sarawak akhirnya berjaya menurunkan kes hariannya kepada 1,983 jangkitan selepas ‘terikat’ pada paras 3,000 kes untuk lebih seminggu untuk berada di tempat kedua.
Selain itu, lima buah negeri turut mencatatkan lebih 1,000 jangkitan harian Covid-19 iaitu Johor (1,974 kes), Sabah (1,784 kes), Pulau Pinang (1,651 kes), Kelantan (1,406 kes) dan Kedah (1,207 kes).
Perak kembali menyertai negeri yang mencatatkan tiga digit kes sahaja iaitu Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tiga jangkitan, Putrajaya 14 kes dan Perlis 30 kes.
Leave a Reply