Covid

Tingkat perangi COVID-19, amal demokrasi bermusyawarah

KERAJAAN yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman pandemik, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka percaya bahawa menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.

Melangkah ke hadapan, Seri Paduka menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

“Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi ‘biduk lalu, kiambang bertaut’.
“Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.

“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’ sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, negara kini berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.

Seri Paduka amat menghargai segala usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik COVID-19 serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Manakala, peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2. Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia.

“Pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan PICK dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

“Kini, hampir 75 peratus pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan program imunisasi industri telah menerima vaksinasi lengkap dan telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan,” titah Seri Paduka.

Di sebalik kejayaan ini, Seri Paduka menyeru semua pihak supaya jangan cepat terleka dan berpuas hati di mana usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.

“Menyedari hakikat tersebut, strategi ‘whole-of-society effort’ perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan. Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.

“Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” titah Seri Paduka.

Titah Seri Paduka, dalam menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus itu, khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.

“Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard pada sebilang masa. Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah, kerajaan juga hendaklah memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing agar penularan varian baharu dapat dikawal.

“Pada masa yang sama, kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin,” titah Seri Paduka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *