mesyuarat MPN

Mesyuarat MPN fokus buka sekolah, IPT – Muhyiddin

MESYUARAT Majlis Pemulihan Negara (MPN) Isnin depan akan menumpukan kepada pembukaan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) secara teratur dan selamat.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan perkara itu dalam hantaran Facebook hari ini.

“Saya akan mempengerusikan mesyuarat MPN pada Isnin depan dan akan memberi fokus kepada pembukaan sekolah dan institusi pengajian tinggi secara teratur dan selamat,” katanya.

Hari ini, beliau sempat berkunjung ke AEON AU2 Setiawangsa di Taman Keramat bagi melihat sendiri pembukaan sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bekas Perdana Menteri itu turut berkongsi rakaman video kunjungannya ke AEON AU2 Setiawangsa.

Muhyiddin memberitahu, sejak Jumaat lalu, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah memasuki Fasa 2 PPN dan rakyat di negeri tersebut kini dapat menikmati lebih banyak kelonggaran terutamanya bagi akitiviti ekonomi dan sosial.

Beliau menambah, dalam kunjungan ke kompleks beli-belah tersebut, para peniaga berkongsi situasi ‘on the ground’ setelah beroperasi semula.

“Seperti kunjungan-kunjungan saya sebelum ini, saya ingin mendengar sendiri daripada mulut peniaga tentang pengalaman dan rintihan mereka dalam berhadapan cabaran mencari rezeki ketika musim pandemik.

“Sememangnya, angka dan data yang dikumpul tidak akan lengkap jika kita tidak mendengar sendiri suara rakyat,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, ada yang mengadu kepada beliau tentang cabaran perniagaan yang dihadapi sepanjang tempoh sekatan pergerakan termasuk kerugian yang ditanggung.

“Namun alhamdulllah, rata-rata peniaga menghargai bantuan-bantuan tunai yang telah disalurkan kerajaan sejak Mac 2020 seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) baru baru ini.

“Seperti mana yang kita sedia maklum, kerajaan telah membelanjakan lebih RM25 bilion untuk bantuan tunai kepada rakyat yang telah memanfaatkan lebih 10.6 juta orang rakyat Malaysia.

“Pada separuh kedua 2021, sebanyak RM 10 billion bantuan tunai telah diperuntukkan melalui PEMULIH.

“Sememangnya sebagai sebuah #KerajaanPrihatin, kita tidak pernah putus- putus cuba membantu rakyat meringankan beban yang ditanggung ketika pandemik ini,” jelasnya.

Secara jujur Muhyiddin amat kagum melihat kecekalan para peniaga yang tabah meneruskan usaha mereka mencari rezeki yang halal.

Menurut beliau, rata-rata peniaga menzahirkan rasa optimistik bahawa perniagaan mereka akan beransur pulih dan memastikan peniaga serta pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Muhyiddin juga berkesempatan beramah mesra dengan para pengunjung termasuk anak-anak kecil yang sudah mula menikmati cuti sekolah mereka.
“Sememangnya pengurusan wabak COVID-19 ini memerlukan bukan sahaja penglibatan secara menyeluruh oleh kerajaan (Whole of Government) malah masyarakat (Whole of Society) juga amat penting.

“Tindakan kerajaan untuk menubuhkan Pasukan Bertindak Khas ataupun Greater Klang Valley Special Taskforce telah berjaya mengawal penularan COVID-19 dan memperkukuhkan kesiapsiagaan sistem kesihatan.

“Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi juga telah membuahkan hasil sehingga nilai-nilai ambang bagi peralihan ke Fasa Dua dapat dicapai,” katanya.

Sebagai Pengerusi MPN, Muhyiddin akan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan (PICK) dipergiatkan lagi bagi memastikan semua yang layak akan menerima suntikan vaksin.

“Insya-Allah, dengan kerjasama orang ramai, kita dapat menangani pandemik COVID-19 ini sebagai satu Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu menyokong dan membeli dari peniaga-peniaga kecil supaya mereka dapat bangkit kembali membina perniagaan dan menjana pendapatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *