Lantik wanita sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat – Zuraida

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG wakil wanita perlu dilantik sekiranya cadangan tiga jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat mahu direalisasikan nanti.

Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, wakil wanita wajar mengisi satu daripada tiga jawatan itu sekali gus selaras dengan 20 cadangan transformasi Parlimen.

Menurutnya, cadangan itu adalah wajar dengan hala tuju dasar-dasar negara untuk mengarusperdanakan peranan wanita dalam semua urus tadbir dan ke arah merapatkan jurang gender dalam pentadbiran.

“Wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara dan peranan 30 peratus wanita ini tidak boleh diabaikan untuk membawa negara ke status yang kita ingini.

“Ahli Parlimen Pontian (Ahmad Maslan) juga telah mencadangkan dan mendorong penyertaan wanita dalam Program Belia dan Siswazah. Sasaran 30 peratus wanita dalam program ini mesti diwajibkan.

“Cadangan mengemas kini Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat perlu supaya ahli-ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan, jenaka berunsur seksis dan menyinggung perasaan akan digantung segera, denda dan hukuman sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zuraida turut memaklumkan bahawa beliau akan mengikuti persidangan Parlimen dari rumah kerana tersenarai sebagai kontak rapat dan perlu menjalani kuarantin kendiri sehingga Ahad.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *