pelantikan

Hanya pelancong berdaftar dengan DOF dibenarkan di Langkawi

Oleh RIZQI ZABIDI

BEBERAPA peraturan baharu akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah bersama-sama Jabatan Perikanan (DOF) bagi memelihara biodiversiti Taman Laut Pulau Payar dekat Langkawi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara peraturan tersebut adalah, hanya pengusaha pelancong yang berdaftar dengan DOF Kedah dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan di perairan taman laut tersebut.

Selain itu katanya, kemasukan pelancong di Taman Laut Pulau Payar akan dihadkan kepada 100 orang seminggu.

“Taman Laut Pulau Payar juga akan ditutup kepada pelancong pada setiap Selasa dan Rabu.

“Sektor pelancongan di situ juga akan ditutup selama tiga bulan iaitu antara Mac hingga Mei setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri turut memutuskan untuk memberhentikan semua projek pembangunan di pusat pelancongan itu bagi memastikan kawasan tersebut terpelihara sepenuhnya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah melantik kontraktor untuk membersihkan segala sisa-sisa konkrit di kawasan tersebut bagi memastikan litupan karangan dapat berkembangan dengan baik.

Dalam pada itu beliau berkata, kajian dijalankan sepasukan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Coral Cay Conservation pada 2004 dan 2005, telah mengklasifikasikan peratusan litupan karang antara 0 hingga 50 peratus di Taman Laut Pulau Payar.

“Begitu pun pemantauan litupan karang tahunan yang dijalankan DOF pada 202 mendapati kadar litupan karang berada pada tahap 60.8 peratus berbanding 50.88 peratus pada 2019,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan spesis ikan di Taman Laut Pulau Payar adalah daripada kumpulan ikan bernilai ekonomi tingi seperti kerapu dan ikan cupak.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha DOF ke arah peningkatan sumber perikanan sekali gus membantu kesejahteraan komuniti dan sosioekonomi nelayan serta penduduk tempatan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *