80,884 Orang Asli terima suntikan vaksin Covid-19

by

in

SEBANYAK 56.1 peratus atau 80,884 daripada 144,180 Orang Asli yang layak divaksinasi di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata jumlah kumulatif pemberian vaksin kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara sehingga semalam adalah 128,548 dos, merangkumi mereka yang menerima satu dos, lengkap dua dos dan dos tunggal vaksin jenis CanSino.

Menurutnya, tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Johor mencatatkan kadar terendah vaksinasi bagi golongan tersebut, dengan jumlah yang belum menerima vaksin di ketiga-tiga negeri itu dianggarkan 16,127 orang.

“Bagi negeri-negeri yang rendah ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan vaksin CanSino iaitu satu dos bagi tujuan mempercepatkan kadar vaksinasi memandangkan lokaliti masyarakat Orang Asli terletak di pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) sentiasa bekerjasama dengan KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan golongan itu divaksinasi segera.

“Keutamaan vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli menerusi Program Jangkauan Luar (outreach) menjadi komitmen KPLB dan JAKOA memandangkan masyarakat ini tinggal di pedalaman serta mempunyai kesukaran dari segi perhubungan dan akses logistik untuk ke pusat vaksinasi yang disediakan kerajaan di bandar atau pekan terdekat,” katanya.

Abdul Rahman berkata penggunaan secara optimum aset-aset kerajaan seperti helikopter dan bot ke kawasan pedalaman diyakini mampu meningkatkan kadar vaksinasi masyarakat tersebut. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *