TIADA sebarang permohonan dibuat oleh pemilik lot tanah di Bukit Tabur di Taman Melawati untuk membersihkan kawasan tersebut.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim, pihaknya pada masa sama telah mengambil tindakan penguatkuasaan di Lot 759 itu pada 11 September pada pukul 11.00 pagi.
Beliau menjelaskan, MPAJ mengambil maklum berhubung isu yang tular di media sosial berhubung dengan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan yang berlaku di Lot 759 Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor.
“Pemilik tanah telah melakukan kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok dengan menggunakan satu unit jengkaut.
“Justeru, tindakan penguatkuasaan ini adalah selaras dengan kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen 70(A), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, tindakan dilaksanakan MPAJ pada pukul 11 pagi, 11 September dengan menyita sebuah jengkaut.
Selain itu ujarnya, MPAJ juga meletakkan batu penghadang di lokasi bagi menghalang kenderaan berat masuk semula ke lokasi.
“MPAJ memandang serius mengenai isu itu dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” tambahnya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, tiada sebarang kelulusan aktiviti tanah diberikan di Bukit Tabur di Taman Melawati.
Tambah beliau, semakan oleh kerajaan negeri, MPAJ dan Pejabat Daerah Gombak mengesahkan tiada kebenaran seumpama itu diberikan.
Leave a Reply