KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Seri Dr Radzi Jidin berkata sesi persekolahan 2021 juga akan dilanjutkan sehingga Mac 2022 bagi memastikan intervensi dalam kalangan pelajar lemah dapat dilaksanakan berikutan pelajar telah lama tidak ke sekolah.
Selain itu, pembukaan semula sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.
Dalam sidang media di sini hari ini, Radzi berkata semua sekolah di negeri dalam Fasa Satu PPN tidak akan dibuka dalam tempoh itu dan pelajar akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Bagi negeri dalam Fasa Dua PPN pula, murid berkeperluan khas dibenarkan hadir tanpa penggiliran dan murid sekolah rendah akan meneruskan PdPR.
Bagi sekolah menengah di negeri dalam Fasa Dua, hanya murid tingkatan enam semester dua, program prauniversiti semester tiga di sekolah sukan dan murid kelas peperiksaan antarabangsa dibenarkan hadir.
Mengulas lanjut, beliau berkata, oembukaan semula sekolah secara berperingkat di sebalik angka jangkitan Covid-19 masih tinggi bertujuan mengelak pelajar daripada terus renggang dengan sistem persekolahan.
Mengakui keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, Radzi berkata sekolah dibuka berdasarkan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri dengan beberapa pendekatan menangani jangkitan Covid-19.
Katanya para pelajar telah lama renggang dengan sistem persekolahan disebabkan penutupan sekolah sejak Mei lalu akibat penularan wabak itu dan keputusan pembukaan semula dibuat setelah mengadakan banyak sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Dalam konteks pembukaan semula sekolah secara bersemuka, kita sedar ramai di luar sana sebut tutup sahaja, buka tahun hadapan, tapi hakikatnya kita bergerak dalam fasa PPN di mana kita perlu membawa kehidupan balik kepada asal dalam norma baharu dan tata cara yang perlu dipatuhi.
“Seramai lima juta murid datang daripada pelbagai latar belakang…ada yang tinggal di bandar ada di pedalaman, ada yang tinggal di pinggir bandar, ada yang mampu dan tidak mampu, datang daripada sosial ekonomi berbeza,” katanya.
Beliau berkata, kementerian yakin dengan segala libat urus dan perbincangan, kerangka yang mereka bentangkan walaupun tidak sempurna tetapi adalah terbaik dalam konteks PPN termasuk pendidikan.
Leave a Reply