SEBANYAK 5,291 kes baharu Covid-19 di Sarawak hari ini adalah dari 28,055 keputusan sampel yang diuji sekali gus menjadikan purata kadar positif Covid-19 di Sarawak adalah 18.8 peratus, berbanding 14.5 peratus, sebelum ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, peningkatan kes itu menunjukkan kejadian penularan Covid-19 telah berlaku secara meluas dalam komuniti.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sedang dan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi Covid-19 di Sarawak manakala langkah-langkah penambahbaikan dijalankan mengikut situasi semasa.
“Sebanyak 5,291 kes baharu itu adalah yang tertinggi selepas lapan hari berturut-turut negeri itu mencatatkan kes melebihi angka tiga ribu sejak 5 September.
“Daripada jumlah 5,291 kes baharu yang dikesan pada hari ini. 99.9 peratus kes berada pada tahap kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (mempunyai gejala yang ringan) semasa dikesan positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mohamed Sapian berkata, penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen akan digunakan dengan lebih meluas di seluruh Sarawak bagi mengenalpasti kes positif dengan kadar yang cepat agar tindakan kawalan dapat dilakukan dengan pantas.
Ujarnya, perancangan strategi mitigasi sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat setelah dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Peningkatan kes harian telah menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutamanya di lokaliti yang mempunyai kluster aktif,” katanya.
Dr Mohamed Sapian memberitahu, bilangan sampel yang tinggi itu telah membebankan kapasiti makmal sedia ada sekali gus memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian (turn-around-time) walaupun melalui penyumberluaran yang telah dilaksanakan.
“Ini mengakibatkan banyak sampel yang tertunggak sehingga lima hari. Walaupun terdapat tunggakan masa dalam memperolehi keputusan semua kontak yang berisiko telah diberi Home Surveillance Order (HSO) bagi mengelakkan penyebaran dalam
komuniti,” tambahnya.
Leave a Reply