Oleh DATUK MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN
SAYA mengikuti kenyataan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam di laman facebooknya. Beliau terlalu kerap menyerang Tan Sri Muhyiddin Muhyiddin walaupun Muhyiddin kini bukan lagi menjadi Perdana Menteri. Terbaru, serangan Khaled berkait terhadap ucapan Muhyiddin dalam Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-5 Bersatu.
Muhyiddin berucap menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami oleh sesiapa sahaja. Tetapi nampaknya Khaled susah hendak faham atau buat-buat tidak faham bahasa Melayu yang diucap oleh Muhyiddin. Jadi saya nak bantu Khaled supaya faham.
Muhyiddin kata beliau mesti letak jawatan apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadapnya. Ini fakta. Tetapi Khaled Nordin pusing cerita kononnya Muhyiddin letak jawatan bukan kerana 15 Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan, tetapi sebab rakyat tidak suka kepadanya. Ini auta. Kajian persepsi awam yang dibuat oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM mendapati 92 peratus responden tidak bersetuju Muhyiddin letak jawatan. Jadi rakyat mana yang Khaled cakap ni?
Muhyiddin kata kalau beliau tidak sokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, Pakatan Harapan (PH) dan kumpulan kleptokrat berkemungkinan akan memerintah. Ini pun fakta.
Kalau kita masih ingat, PH plus mempunyai 105 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Jika dicampur 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin, jumlahnya 120. Nak bentuk kerajaan cuma memerlukan sokongan 111 daripada 220 Ahli Parlimen. (Nota: dua kerusi Parlimen iaitu Gerik dan Batu Sapi kosong). Jadi, kenyataan Muhyiddin ini amat munasabah.
Tetapi Khaled kata Muhyiddin ‘desperate’ atau dalam bahasa Melayu terdesak tidak mahu PH memerintah.
La Ilaha llallah. Mengucap panjang saya. Muhyiddin dah bantu Naib Presiden UMNO jadi Perdana Menteri dan sekat PH daripada jadi kerajaan, beliau kata Muhyiddin terdesak. Pemimpin apa Khaled ni? Sepatutnya beliau ucap terima kasihlah kepada Muhyiddin.Atau memang niat Khaled mahu supaya PH memerintah dalam Jajaran Baru?
Apabila Ismail Sabri dengan sokongan Muhyiddin dan ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Perdana Menteri, perancangan mereka gagal. Sebab itulah Khaled Nordin tidak puas hati dengan langkah Muhyiddin ini agaknya?
Khaled kata penolakan Muhyiddin terhadap PH adalah bermusim dan bersifat acuh tak acuh kerana Perdana Menteri yang disokong olehnya, iaitu Ismail Sabri, telah memutuskan untuk bekerjasama dengan PH dan parti-parti pembangkang melalui pendekatan baharu. Ini merujuk kepada tawaran 7 perkara Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 10 September 2021.
Khaled Nordin mempertikaikan kenapa Muhyiddin tidak membangkang tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri kepada PH?
Allahuakbar. Lupakah Khaled Nordin tawaran yang sama dibuat oleh Muhyiddin kepada parti-parti pembangkang pada 13 Ogos 2021? Jadi kenapa pula Muhyiddin hendak bangkang?

Saya hendak beritahu Khaled Nordin. Tawaran ini adalah satu bentuk kerjasama rentas parti di Parlimen atau Confidence and Supply Agreement (CSA). CSA ini tidak sama dengan PH menjadi kerajaan. PH tetap pembangkang. Cuma ada persefahaman di Parlimen bahawa PH tidak akan kemuka atau sokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen.
Maknanya, Perdana Menteri dari UMNO ini boleh kekal. Tidak seperti apa yang dibuat oleh 15 Ahli Parlimen daripada UMNO terhadap Perdana Menteri dari Bersatu dulu.
Sepatutnya Khaled Nordin ucap terima kasih, tahniah dan syabas kepada Muhyiddin kerana beliau konsisten dengan pendirian dan sokongan kepada tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang diumum oleh Perdana Menteri akan membolehkan Perdana Menteri daripada UMNO kekal.
Saya harap Khaled faham penjelasan saya dalam bahasa Melayu yang mudah.
Nasihat saya kepada Khaled Nordin, tidak salah untuk mengkritik tetapi biarlah mengkritik secara berfakta, rasional dan bukan secara emosional. Janganlah terlalu angkuh dan sombong apatah lagi bagi pemimpin yang telah ditolak oleh rakyat dengan kekalahan yang teruk pada pilihanraya umum lepas.
Elakkan kenyataan politik yang sia-sia! Fokuslah kepada politik khidmat bakti demi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini. Bantulah dan dukunglah kerajaan pimpinan Ismail Sabri. Sama-sama kita bermuhasabah diri!
- Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen adalah Naib Presiden Bersatu. Kenyataan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Warta Rakyat.
Leave a Reply