Tugas di SJR bukan mudah…Terima kasih wira negara!

ANALISIS

MALAM tadi seorang sahabat menghubungi saya apabila melihat sekumpulan anggota polis dan tentera bersiap-siap mengemaskan barang di lokasi sekatan jalan raya (SJR) di sebuah plaza tol di Shah Alam.

Penutupan SJR itu selaras dengan pengumuman kerajaan,Lembah Klang beralih ke Fasa 2 bermula hari ini. Mendengar perkhabaran itu secara tiba-tiba terdetik rasa terharu di hati penulis.

Rumah penulis kebetulan terletak berhampiran plaza tol itu dan hanya dipisahkan dengan pagar. Setiap hari sejak SJR dilaksanakan hampir lebih setahun lalu, penulis tidak akan terlepas menyaksikan kegigihan anggota keselamatan melaksanakan tugas mereka di situ.

Walaupun keletihan namun wajah mereka sentiasa ceria, senyum sentiasa terukir, budi bahasa cukup dijaga ketika berurusan dengan pemandu kenderaan.

Apabila hujan lebat dan angina kencang, penulis terfikir bagaimana keadaan mereka. Begitu juga ketika panas terik yang ‘membakar tubuh’.

Setiap kali melihat kegigihan dan ketabahan mereka, penulis sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya melindungi wira-wira negara ini. Mereka bertugas siang dan malam, pagi dan petang, tidak kira panas terik atau hujan, dihembus kedinginan malam atau dibadai angin kencang, mereka setia di situ demi tugas.

Pengorbanan mereka amat besar sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19. Jangan sesekali dalam kalangan kita mempunyai tafsiran merasakan tugas anggota tersebut mudah kerana hanya menjaga sekatan jalan raya.

Tugas mereka tidak semudah yang kita sangka. Tugas mereka bukan sekadar memeriksa dokumen perjalanan pemandu atau penumpang tetapi lebih daripada itu mereka juga bertanggungjawab memastikan tidak ada anasir-anasir jahat mengambil kesempatan.

Sudah pasti kita membaca bagaimana anggota keselamatan di sesetengah sekatan jalan raya berjaya mematahkan pelbagai kegiatan jenayah termasuklah pengedaran dadah. Pada masa sama sepanjang masa, setiap detik nyawa mereka menjadi pertaruhan.

Acap kali kita mendengar bagaimana ada pemandu merempuh sekatan jalan raya, ada anggota keselamatan yang cedera.

Penulis percaya bukan sahaja berhampiran kawasan kediaman penulis malah beberapa kawasan lain juga di Lembah Klang sekatan jalan raya ditamatkan.

Dan hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui akaun twitternyan mengucapkan terima kasih kepada kesemua anggota PDRM, ATM, RELA dan pihak-pihak lain yang membantu operasi SJR di Lembah Klang.

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat anggota SJR yang masih beroperasi di seluruh negara. Sebagai seorang bekas Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri pasti memahami betapa beratnya tugas anggota-anggota tersebut.

Sesungguhnya ucapan terima kasih seperti mana dilakukan oleh Ismail Sabri amat besar ertinya kepada anggota-anggota terlibat. Dan kita juga sebagai masyarakat harus berterima kasih atas jasa mereka.

Semoga Allah SWT terus memberkati, merahmati dan melindungi seluruh anggota keselamatan kita. Terimakasih Wira Negara!


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *