Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KESEMPITAN hidup 99 ahli Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Johor yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan Malaysia-Singapura mendapat perhatian Sultan Johor.
Pengerusi PMPPB, R Thiagarajan berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan barang keperluan harian kepada mereka yang semuanya merupakan pemandu bas dan ketika ini hilang punca rezeki.
Menurut beliau, industri pengangkutan melibatkan perkhidmatan bas sememangnya menerima kesan besar akibat pandemik Covid-19.
“Sebilangan besar pengusaha serta pemandu bas hilang punca pendapatan dan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Ramai pemandu bas yang berpengalaman telah berputus asa dan berpindah ke bidang lain, jadi bantuan ini amat membantu untuk ahli-ahli kami yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penyerahan sumbangan tersebut turut dikongsikan menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada Jumaat.
Thiagarajan berkata, dalam usaha memastikan ahli persatuan itu masih dapat mencari rezeki dalam tempoh mencabar ini, pihaknya telah memperkenalkan Inisiatif Progam Bas Mobil Vaksinasi.
“Inisiatif ini dilaksana dalam usaha membantu ahli menjana pendapatan sambil membantu kerajaan melaksanakan program vaksinasi dengan lebih mudah dan cepat, terutamanya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pihak yang memerlukan.
“Saya mewakili ahli persatuan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan atas jasa baik baginda,” ujarnya.
Leave a Reply