Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
BENDAHARI UMNO Johor, Datuk Md. Jais Sarday menyifatkan pemergian bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Gapar Gurrohu yang meninggal di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang hari ini sebagai satu kehilangan besar.

Menurut Md. Jais, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota dari 2004 hingga 2008 itu dianggap sebagai seorang tokoh di daerah ini kerana banyak jasa dan sumbangannya.
“Beliau merupakan seorang yang tegas dalam membuat sebarang keputusan dan amat dihormati. Salam takziah untuk keluarganya dan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 74 tahun kira-kira pada jam 1.30 pagi di HEBHK akibat jangkitan pada paru-paru.
Md. Jais berkata, Allahyarham yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kluang ketiga berkhidmat dari 1996 hingga 2008 meninggalkan dua anak yang kedua-duanya merupakan guru.
“Selepas tidak aktif berpolitik, Allahyarham menjadi Pengerusi Pertubuhan Anak Yatim Kluang dan menjalankan kerja-kerja amal,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang.
Leave a Reply