400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen KK merusuh

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

HAMPIR 400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu, hari ini merusuh kerana dikatakan tidak berpuas hati apabila proses penghantaran pulang ke negara asal mereka tertangguh.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sabah (Operasi) Masri Adul berkata, kejadian pada pukul 6.30 pagi itu berlaku semasa semua penghuni yang dipercayai warga Filipina meloloskan diri dari lokap tetapi gagal melepasi pagar lokap berkenaan.

“SIasatan awal mendapati kejadian bermula daripada blok yang menempatkan tahanan wanita. Sekumpulan tahanan wanita itu mengaku terlalu tertekan dan meminta segera dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Provokasi itu didengari oleh blok tahanan lelaki yang terletak berhadapan blok wanita sehingga mencetuskan rusuhan kecil.

“Penghuni tiga blok lelaki kemudiannya merosakkan kunci mangga pintu lokap dan terus keluar ke kawasan lokap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Masri berkata, sebaik menyedari kejadian itu, pihak DTI terus menghubungi polis dan Jabatan Imigresen negeri bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, kira-kira 70 anggota dan pegawai serta 40 anggota bahagian penguatkuasaan imigresen dikerah ke lokasi kejadian.

“Rusuhan kecil itu berjaya dikawal dan saya bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berunding dengan tahanan bagi menyelesaikan perkara itu.

“Dalam rundingan itu selama sejam itu kami menerangkan secara lanjut kepada penghuni pusat berkenaan mengenai situasi sebenar proses penghantaran semula yang terpaksa ditangguhkan.

“Penghantaran balik itu ditangguhkan atas permintaan pihak Kedutaan Filipina kerana beberapa perkara termasuk penularan pandemik Covid-19 dan mereka memahami situasi itu,” katanya.

Sementara itu, Masri berkata, pasukan polis akan menempatkan seramai 30 anggota di DTI ini untuk tempoh beberapa hari bagi memantau keadaan di lokasi itu.

“Tiada sebarang kerosakan yang berlaku dalam insiden ini dan pemantauan juga akan dijalankan dari masa ke masa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *