DUA pekerja lombong bijih besi maut selepas ditemukan lemas ekoran terjatuh ke dalam kolam tadahan di tapak lombong berkenaan di Batu Talam, Cheroh, Raub, hari ini.
Mayat Siak Teck Wah, 53, dan seorang warga Indonesia, Adi Piter, 25, ditemukan pada pukul 12.30 tengah hari dan 1.15 petang oleh pasukan bomba yang menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, mayat kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan tersangkut pada paip saluran keluar di dasar kolam dianggarkan sedalam lima meter itu.
Menurut beliau, mangsa dipercayai disedut paip saluran itu setelah terjatuh menyebabkan kedua-duanya lemas.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 10.40 pagi ketika Teck Wah ke kolam tersebut untuk melakukan kerja-kerja pembersihan kerana keadaan airnya yang keruh sebelum dia terjatuh.
“Kejadian disedari salah seorang pekerja di situ lalu dia menjerit memberitahu rakan lain untuk membantu.
“Ketika itu, seorang lagi mangsa, Adi Piter dipercayai turun ke dalam kolam untuk menyelamatkan Teck Wah sebelum kedua-duanya tenggelam,” ujarnya, hari ini.
Menurut Kama Azural, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 11.20 pagi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub sebelum mengarahkan anggota ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihak bomba memulakan operasi SAR sekitar pukul 12 tengah hari menggunakan teknik melempar cangkuk di lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
“Mangsa pertama berjaya ditemukan berdekatan paip salur keluar air di kolam tersebut, namun gagal dinaikkan,” terangnya.
Menurut beliau, jentera jengkaut turut digunakan untuk membuka salur kolam supaya air cepat surut bagi mencari mangsa kedua.
“Mangsa pertama tidak dapat dinaikkan ketika itu kerana tekanan air masih kuat dan kaki mangsa berada di dalam salur paip tersebut.
“Mangsa kedua berjaya ditemukan berdekatan tempat mangsa pertama juga dalam keadaan kaki berada dalam saluran paip.
“Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pukul 1.20 petang sebelum dibawa ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat,” terangnya.
Leave a Reply