STRATEGI kerajaan dalam mempertingkatkan kadar vaksinasi ketika kes meningkat di Labuan sekitar Mei dan Jun lalu terbukti berkesan apabila wilayah itu berjaya mencatatkan penurunan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital selain pengurangan penggunaan katil ICU dan ventilator.
Sehubungan itu Pengerusi Majlis Pemulihan Nasihat (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Labuan yang pada 7 September lalu merekodkan 100 peratus populasi dewasa telah divaksinasi penuh melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan menjadi wilayah pertama beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
‘’Warga Labuan kini dapat menikmati kelonggaran di semua sektor ekonomi dan sosial tertakluk kepada SOP dalam norma baharu. Pencapaian ini sememangnya tidak dapat dicapai tanpa kerja keras Badan Bertindak Imunisasi Covid19 (CITF), ditambah kerjasama erat kesemua agensi kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk serta rakyat Labuan,’’ katanya melalui kenyataan dalam Facebook beliau.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kejayaan Labuan memberi suntikan vaksinasi kepada lebih 68,500 penduduk dewasa merupakan pencapaian yang membanggakan dan memberi inspirasi dalam perang menentang Covid-19.
‘’Ini membuktikan bahawa usaha dan perancangan kerajaan dalam “roll-out” PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) kini mula menunjukkan hasil. Berkat usaha semua pihak baik Kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta dan juga rakyat, saya percaya Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat dalam mencapai imuniti kelompok, sekaligus memulihkan ekonomi negara,’’ katanya.
Beliau yang turut mengucapkan tahniah kepada penduduk Labuan menasihatkan mereka
Terus mematuhi SOP dan kawalan risiko kendiri untuk memastikan penularan wabak Covid-19 sentiasa terkawal.
‘’Insya-Allah, saya yakin negeri-negeri lain juga akan dapat mencapai kejayaan ini dalam masa terdekat. Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula akan beralih ke Fasa 2 bermula Jumaat ini.
‘’Dengan kelonggaran yang diberikan ini, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan. Mari kita terus berusaha dan berdoa agar #KeluargaMalaysia terus berjaya dalam perang menentang Covid-19,’’ katanya.
Leave a Reply