Rakyat patuhi arahan kuarantin kendiri-Raja Muda Perlis

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap individu perlu bertanggungjawab kuarantin kendiri di rumah jika terlibat dengan aktiviti berisiko seperti merentas negeri atau menghadiri majlis kematian.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, anggota masyarakat juga wajib mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan pihak kesihatan jika dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.

Titah baginda, seluruh masyarakat wajib untuk mematuhi arahan kuarantin jika telah dikenal pasti sebagai kontak rapat atau kes positif Covid-19 yang dikelaskan sebagai sesuai dirawat di rumah.

“Justeru, individu terbabit perlu kekal tinggal di rumah melainkan bagi mendapatkan rawatan perubatan kecemasan,” titah baginda ketika berkenan berangkat mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama agensi-agensi di bawah naungannya dengan Jabatan Kesihatan negeri yang diadakan dalam talian di Kangar, hari ini

Turut hadir, Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penjagaan khusus terhadap ahli keluarga dalam kalangan warga emas dan berpenyakit kronik hendaklah terus diberikan perhatian kerana mereka amat berisiko mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *