Oleh TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

Dalam tahun 1946, apabila Raja-Raja Melayu menandatangani Perjanjian Malayan Union, Raja-Raja Melayu hampir menyerahkan kesemua kuasa mereka kepada penjajah British.

Nasib baiklah orang Melayu sedar akan kesilapan itu dan bangun menentangnya.

Gerakan itu membawa kepada penubuhan UMNO yang menyambungnya dengan menuntut kemerdekaan.

Manakala negara-negara lain yang merdeka selepas Perang Dunia Kedua membuang raja-raja mereka, seperti India dan Indonesia, UMNO dengan tegas mahukan Raja-Raja Melayu terus bertakhta selepas Merdeka.

Maka, termaktublah peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu dengan hak dan keistimewaan mereka. Di peringkat Persekutuan diadakan seorang raja berperlembagaan yang diberi nama Yang di-Pertuan Agong.

Sistem raja berperlembagaan itu berjalan dengan licin selama lebih kurang 40 tahun dengan Raja dan Kerajaan hormat menghormati antara satu sama lain, masing-masing melaksanakan tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Kerajaan berunding dengan Raja di mana ia dikehendaki berunding. Raja mengikut nasihat Kerajaan di mana Baginda dikehendaki berbuat demikian.

Kita mula nampak adanya masalah apabila Perlembagaan dipinda dengan menubuhkan Mahkamah Khas untuk membicarakan Raja-Raja bagi kes-kes jenayah dan mal. Jika tiada kes berlaku atau jika tidak dikhuatiri berlaku masakan mahkamah tersebut ditubuhkan.

Orang yang paling tahu hal itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana beliaulah Perdana Menteri pada masa Perlembagaan dipinda untuk menubuh mahkamah itu.

Ini diikuti dengan pindaan kepada Perkara 66 dan 40.

Perkara 66 dipinda dengan menambah Klausa (4A).

“(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di- Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telahmemperkenankannya.”

Tentulah ada Raja yang enggan menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen yang menyebabkan pindaan itu perlu dibuat, pada hal mengikut convention ia sepatutnya ditandatangani in due course.

Pindaan itu dibuat bersama-sama dengan pindaan kepada Perkara 40 dengan menambah klausa (1 A):

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”

Tidak ada perkataan yang lebih jelas dari itu: dalam perkara yang Raja dikehendaki oleh Perlembagaan berbuat sesuatu mengikut nasihat Kerajaan, apabila dinasihatkan berbuat sesuatu, buat.

Orang yang paling tahu mengapa pindaan-pindaaan itu perlu dibuat adalah Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada masa itu, Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri dan  Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri yang mencadangkan pindaan itu di Parlimen.

Pada 23 Oktober 2020, sebagai Perdana Menteri, TS Muhyiddin menyembahlan keputusan Jemaah Menteri untuk dibuat deklarasi darurat untuk menangani pandemik Covid-19.

Dalam hal mengisytiharkan darurat, Privy Council telah memutuskan dalam kes Teh Cheng Poh v. Public Prosecutor (1979) 1 MLJ 50 bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

Tetapi, pada esoknya, pada 24 Oktober 2020, Istana Negara mengeluarkan kenyataan media yang, antara lain, menyebut bahawa YDPA “telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Rundingan tersebut diadakan pada 25 Oktober 2020 dan, selepas, itu Istana Negara mengeluarkan kenyataan media yang, antara lain, berbunyi:

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.”

Perlu diingati bahawa tindakan berunding dengan Raja-Raja Melayu itu tidak diperuntukkan oleh Perlembagaan. Perlembagaan menghendaki Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri dalam hal itu.

Pada 15 Jun 2021, Istana Negara mengeluarkan kenyataan berikut:

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.”

Perlu diingati juga bahawa kenyataan ini dibuat di luar bidang tugas Yang di-Pertuan Agong. Tidak pula disebut pahawa pandangan Kerajaan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut diminta.

Pada hari yang sama, Raja-Raja Melayu, melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, juga mengeluarkan kenyataan bahawa Raja-Raja Melayu bersependapat tiada keperluan

untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad:

“Dalam semangat itu, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong, yang menitahkan supaya Parlimen bersidang segera.”

Sekali lagi Raja-Raja Melayu melibatkan diri dalam perkara yang terletak di luar bidang kuasa mereka.

Sampai kepada isu pembatalan ordinan-ordinan darurat. Mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, ada tiga cara ordinan-ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa proklamasi darurat sedang berkuat kuasa, akan terhenti berkuat kuasa. Satu daripadanya ialah apabila ia dibatalkan (revoked) di bawah Fasal (3).

Pembatalan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri. Berdasarkan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, nampaknya Kerajaan telah mengalah dan memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021 .

Pada 21 Julai 2021 Jemaah Menteri, dalam mesyuaratnya membuat keputusan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat deklarasi darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021.

Dalam mesyuarat itu juga, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa deklarasi darurat itu berkuatkuasa.

Pada 24 Julai 2021 dokumen-dokumen tersebut telah disembahkan kepada Yang di- Pertuan Agong. Setelah menelitinya, Baginda menitahkan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan (DS Takiyuddin) dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun (Peguam Negara) untuk menghadap Baginda secara maya.

Semasa sesi menghadap secara maya itu Baginda menitahkan, antara lain:

  1. (Baginda) Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana ianya dilakukan secara tergesa-gesa iaitu menjelang dua hari sebelum sidang Parlimen selain akan keperluan ianya diwartakan.

2. (Baginda) Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan tersebut secara terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

3. Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan diungkaikan di Parlimen selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sekali lagi, kesemua ini adalah di luar Perlembagaan.

Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021 Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya ordinan-ordinan tersebut dibentang di hadapan Dewan Rakyat, dibahaskan dan diungkai oleh Parlimen.

Maka  Takiyuddin telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

Kenyataan itu telah disambut dengan bantahan daripada pihak pembangkang.

Pada 29 Julai 2021, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang, antara lain, mengatakan:

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa- gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang- undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. Mahathir, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO melompat dan menyerang Takiyuddin, Perdana Menteri dan Kerajaan PN.

Mereka menuduh Takiyuddin mengelirukan dan berbohong kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat, menuntut Takiyuddin, Perdana Menteri, dan semua Ahli-Ahli Jemaah Menteri meletak jawatan. Ada yang melaung “menghina” dan “derhaka” dalam Dewan Rakyat.

Pada hari yang sama (29 Julai 2021) Pejabat Perdana Menteri pula mengeluarkan kenyataan media. Kenyataan itu menekankan bahawa ordinan-ordinan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri tanpa perlu diungkai oleh Parlimen dan apa yang telah dilakukan oleh Jemaah Menteri itu adalah betul di sisi undang-undang.

Kenyataan itu juga menekankan bahawa dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat dan memetik Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan.

Dari sini kita dapat lihat bahawa masalah ini timbul daripada salah faham mengenai maksud bertindak atas nasihat. Malangnya, isu itu tenggelam dalam riuh rendah yang berbangkit daripda kesilapan kecil Taliyuddin yang tertinggal lima perkataan iaitu “untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong” yang diperbesarkan itu. Peristiwa ini berlarutan hingga Muhyiddin meletak jawatan.

Apabila Muhyiddin meletak jawatan, maka terletaklah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu. Perlembagaan memperuntukkan dengan mudah dan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat” untuk menjadi Perdana Menteri.” – Perkara 43(2)(a).

Perlembagaan tidak menghendaki Baginda memastikan bahawa orang yang dilantik itu semestinya mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat kerana orang yang dilantik itu akan tertakluk kepada undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Perlembagaan juga tidak menetapkan aturcara (procedure) yang Baginda perlu ikuti untuk membuat keputusan siapa yang hendak dilantiknya.

Apakah yang berlaku?

Pada 17 Ogos 2021, semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat akuan ke Istana Negara dan menamakan calon pilihan masing-masing untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Mereka diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang esoknya (18 Ogos 2021) untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis. Surat akuan itu hendaklah disahkan sebagai benar.

Arahan berkenaan dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen di atas titah Yang di-Pertuan Agong.

Keperluan Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuat surat akuan ini tidak diperuntukkan di mana- mana. Jika ia merupakan satu cara untuk mendapat maklumat siapakah yang mungkin mendapat sokongan majoriti, tidak mengapalah, tetapi janganlah ia sampai dijadikan satu precedent yang mesti dikuti.

Selepas surat-surat akuan itu diterima dan dihitung, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat sokongan majoriti iaitu 114 berbanding 105 yang diperoleh Anwar .

Sepatutnya pelantikan sudah boleh dibuat kerana Ismail Sabri telah mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rayat. Tetapi, Ahli-Ahli Dewan Rayat yang menyokong Ismail Sabri dipanggil pula untuk mengesahkan pendirian mereka. Ini telah menimbulkan syak sama ada Yang di-Pertuan Agong cuba menghalang Ismail Sabri daripada menjadi Perdana Menteri.Tidak cukup dengan itu, ketua-ketua parti pula dipanggil.

Mengikut sumber yang boleh dipercayai, seorang demi seorang ketua-ketua parti itu ditanya sama ada mereka bersetuju diadakan sebuah kerajaan perpaduan, anehnya, bermula dengan Anwar.

Lebih kurang pada masa yang sama, Anwar  dan Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah kerajaan perpaduan hendaklah ditubuh yang dianggotai semua parti.

Ingat kembali, hanya beberapa hari sebelumnya, mereka menolak sekeras- kerasnya tawaran Muhyiddin untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang inklusif.

Kita tidak tahu idea kerajaan perpaduan itu datangnya daripada Anwar, Istana Negara atau orang-orang yang rapat dengan Istana Negara atau terdapat kesepakatan antara mereka.

Apa yang merisaukan ialah bahawa Yang di-Pertuan Agong, dalam pertemuan dengan ketua-ketua parti itu, menunjukkan bahawa Baginda menghendaki sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan, walaupun Ismail Sabri telah mendapat sokongan majoriti.

Malah, mengikut sumber yang boleh dipercayai terdapat cubaan menghendaki Ismail Sabri menandatangani surat pengakuan bahawa selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau akan menubuh kerajaan perpaduan, senada dengan apa yang dikehendaki oleh Anwar dan Lim Kit Siang.

Jika benarlah demikian, ia bererti Yang di-Pertuan Agong telah melebihi bidang tugas Baginda dan Baginda telah campur tangan dalam hal politik, sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan Baginda. Niat Baginda mungkin baik, tetapi ia terletak di luar bidang tugas Baginda.

Esoknya, pada 20 Ogos 2021, mesyuarat Raja-Raja Melayu pula diadakan. Ini tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang. Ia tidak disuruh dan tidak dilarang.

Perlembagaan tidak memberi Raja-Raja Melayu apa-apa peranan dalam pelantikan Perdana Menteri. Paling kurang, bolehlah dikatakan mesyuarat itu tidak perlu. Sebaliknya, dengan mengadakan mesyuarat itu, ia memberi gambaran seolah-olah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan sendiri.

Namun demikian, beberapa jam selepas mesyuarat itu tamat, keluarlah kenyataan media bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.

Kita fikir, dengan itu selesailah kemelut pelantikan Perdana Menteri Ke-9, suatu tindakan mudah yang telah disusahkan hingga menimbulkan berbagai keraguan, syak wasangka dan ketidaktentuan yang tidak sepatutnya berlaku jika pelantikan dibuat terus seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Tetapi, tidak. Ingat semula, sebelum pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Istana Negara ada mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan beliau tertakluk kepada undi percaya dalam Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 13 September 2021.

Apabila tarikh persidangan itu semakin dekat dan tiada tanda-tanda Kerajaan akan membawa isu percaya terhadapnya, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan mengingatkan semula bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos telah bertitah agar Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti.

Kegagalan melakukannya akan menjadi penentangan terbuka yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan yang disengajakan dan bersikap keras kepala terhadap Titah Diraja, katanya.

Pada hari yang sama, Malaysiakini memetik Anwar sebagai berkata, “Sultan Nazrin turut menitahkan undi percaya harus menjadi first item ketika Parlimen bersidang semula yang turut dipersetujui semua ketua parti.”

Pada hari yang sama juga, Peguam Negara mengeluarkan kenyataan media, yang selepas menurunkan proses pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, menyatakan:

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

‘’Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

‘’Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang.”

Selepas itu Majlis Presiden Pakatan Harapan pula mengeluarkan kenyataan yang antara lain, mengatakan:

“Kenyataan Peguam Negara ini bertentangan dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos yang lalu.

Seperti yang terakam di dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

‘’Titah Seri Paduka Baginda ini turut ditekankan KDYMM Seri Paduka Baginda Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti….

‘’Oleh yang demikian, Majlis Presiden beranggapan bahawa kenyataan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka Baginda.

‘’Ini juga merupakan kali kedua Peguam Negara telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan Peguam Negara.’’

Pakatan Harapan mendesak Peguam Negara meletak jawatan kerana beliau bukan sahaja telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, tetapi beliau juga telah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.”

Perhatikan, pertama, kenyataan Yang di-Pertuan Agong itu telah digunakan sepenuhnya oleh pembangkang sebagai alasan bagi menuntut apa yang mereka kehendaki. Sama ada persamaan pendapat keduanya satu kebetulan atau tidak ia boleh memberi gambaran bahawa Yang di-Pertuan Agong berada di sebelah pembangkang atau nama Baginda digunakan oleh pembangkang untuk kepentingan mereka. Semua ini tidak akan berlaku jika Istana Negara tidak mengeluarkan kenyataan itu.

Kedua, apa yang disebut dalam kenyataan itu terletak di luar bidang tugas Yang di- Pertuan Agong. Tugas Yang di-Pertuan Agong adalah melantik Perdana Menteri baharu daripada “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

Setelah membuat pelantikan, tugas Baginda selesai. Bukanlah tanggungjawab Baginda untuk memastikan orang yang Baginda lantik itu benar-benar mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat atau masih lagi mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Ketiga, tidak ada sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong patut meletakkan beban membuktikan keabsahan pelantikan olehnya di atas bahu Perdana Menteri. Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Mengapa Yang di-Pertuan Agong menghendaki Perdana Menteri membuktikan pelantikannya yang dibuat oleh Baginda itu sah?

Keempat, dengan menghendaki Perdana Menteri mengusulkan undi percaya terhadap diri dan Kerajaannya sendiri, memberi gambaran seolah-olah Yang di-Pertuan Agong tidak yakin terhadap keputusan yang dibuatnya sendiri atau/dan Perdana Menteri itu tidak yakin bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Kelima, mana-mana pihak yang hendak mencabar keabsahan pelantikan itu hendaklah melakukannya di mahkamah.

Mana-mana pihak yang hendak mencabar kelayakan seorang Perdana Menteri untuk terus memegang jawatan itu atas alasan beliau tidak mendapat sokongan majoriti hendaklah membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat. Beban pembuktian terletak di atas bahu pihak yang menuduh/mencabar.

Mengenai peranan yang dimainkan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula kita bersandar kepada petikan apa yang dikatakan oleh Anwar  seperti yang disiar oleh Malaysiakini dan kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Daripada kedua-dua dokumen itu adalah jelas bahawa memang benar ketua-ketua parti dijemput menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga turut hadir dalam majlis itu.

Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mempercayai kebenaran apa yang dikatakan dalam dokumen-dokumen itu iaitu “Sultan Nazrin turut menitahkan undi percaya harus menjadi first item ketika Parlimen bersidang semula….”

Dokumen-dokumen ini juga menyokong cerita bahawa dalam perjumpaan itu, ketua- ketua parti disoal seorang demi seorang sama ada mereka menyokong penubuhan kerajaan perpaduan.

Dalam kedua-dua hal ini (menghendaki penubuhan kerajaan perpaduan dan membawa usul percaya di Dewan Rakyat), dengan penuh taat setia, saya berpendapat Baginda juga telah melampaui bidang tugas Baginda.

Sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Baginda tidak ada peranan dalam pelantikan Perdana Menteri. Sekarang, nama Baginda digunakan oleh pembangkang sebagai alasan bagi menyokong tuntutan mereka.

Saya percaya Baginda tidak menyangka kehadiran Baginda dan apa yang dikatakan oleh Baginda dalam majlis itu akan didedahkan kepada umum untuk menyokong tuntutan pembangkang. Biar apa pun ia telah berlaku: ahli politik akan menggunakan sesiapa sahaja untuk mencapai tujuan mereka – kuasa.

Sampai kita kepada kenyataan media Peguam Negara. Saya percaya ia dibuat atas permintaan Pejabat Perdana Menteri.

Maka, nasihat saya yang pertama sekali ialah beliau hendaklah belajar berkata “tidak” kepada ahli-ahli politik, di mana berkenaan. Sebenarnya ini bukan isu undang-undang. Ia adalah isu politik.

 Jika apa yang hendak dicabar itu adalah keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong (saya tidak nampak bagaimana ia boleh dicabar), maka itu adalah isu undang-undang dan forumnya adalah di mahkamah.

Apa yang hendak dicabar sekarang ialah sama ada, pada masa ini, khususnya pada masa undi percaya atau tidak percaya dilakukan, Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat atau tidak.

 Ia tidak ada kena mengena dengan persoalan pelantikannya oleh Yang-Pertuan Agong sah atau tidak.

Kedua, dengan Yang di-Pertuan Agong, Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan pembangkang berada di pihak yang sama, apabila Peguam Negara mengeluarkan kenyataan itu, beliau nampak seperti mempertahankan pendirian kerajaan. Lainlah halnya jika ia isu undang-undang.

Ketiga, terdapat kekeliruan dalam pendapat itu sendiri apabila ia berkata “Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana- mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain”.

 Seperti yang telah disebut, apa yang hendak dicabar bukanlah keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi sama ada, pada masa ini Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti Ahli- Ahli Dewan Rakyat atau tidak. Maka hujah Peguam Negara itu tidak berkenaan.

Pada 7 September 2021, semasa saya sedang menyemak rencana ini, saya menerima berita bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan undi percaya tidak perlu dilakukan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen.

Saya percaya bahawa apa yang dimaksudkan dengan “undi percaya” itu adalah undi percaya yang dikehendaki oleh Yang di-Pertuan Agong dibawa oleh Kerajaan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaannya.

Dalam kata-kata lain, Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menghendaki undi percaya itu dibawa oleh Kerajaan. Ia tidak termasuk undi tidak percaya yang mungkin akan dibawa oleh pembangkang kerana saya tidak fikir Baginda atau sesiapa boleh menghalang pembangkang berbuat demikian.

Dari awal saya katakan bukanlah tanggungjawab Kerajaan untuk membuktikan bahawa ia ada sokongan majoriti. Beban membuktikan Kerajaan tidak mempunyai sokongan majoriti terletak di atas bahu orang yang mengatakan Kerajaan tidak mempunyai sokongan majoriti.

Dalam kata-kata lain Kerajaan tidak perlu membawa undi percaya terhadap dirinya.

Jika semua pihak memahaminya, Yang di-Pertuan Agong tentulah tidak akan mengeluar kenyataan menghendaki dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong tentulah tidak akan menitah Kerajaan membawa, undi percaya terhadapnya sendiri apabila Parlimen bersidang.

Sekarang Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan undi percaya itu tidak diperlukan. Bagaimana kita hendak reconcile keputusan baharu ini dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelumnya? Apa kata Timbalan Yang di-Pertuan Agong?

Demikian juga, jika semua pihak memahaminya, Perdana Menteri juga tidak perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan undi percaya itu tidak perlu dilakukan. Kita belum tahu apa komen pembangkang terhadap perkembangan baharu ini. Mengapa memberi modal kepada mereka?

Alasan yang diberi mengapa Yang di-Pertuan Agong mengubah pendiriannya adalah sama dengan kenyataan Peguam Negara, cuma ditambah dalam masa yang singkat itu tidak mungkin Ahli-Ahli Parlimen itu akan menukar fikiran mereka.

Alasan ini tidak lebih daripada anggapan dan tidak meyakinkan. Alasan sebenarnya ialah bukanlah tanggungjawab Kerajaan untuk membuktikan bahawa ia ada sokongan majoriti. Noktah.

Kesimpulan

Dari sini dapat diperhatikan, selama lebih kurang 40 tahun selepas Merdeka, sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia berjalan dengan licin, Raja dan Kerajaan masing-masing menjalankan tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Di sekitar 1984, mulalah timbul masalah yang berbangkit daripada keengganan Raja menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen, menyebabkan pindaan kepada Perkara 40 dan 66 terpaksa dibuat.

Tahun-tahun 2020 dan 2021 memperlihatkan tindakan-tindakan di luar Perlembagaan yang menjadikan sesuatu yang mudah itu susah. Keadaan menjadi lebih buruk apabila Raja-Raja, bukan sahaja tidak mengikut nasihat, di mana Perlembagaan memperuntukkan mereka kena berbuat demikian, tetapi melakukan sesuatu di luar

Perlembagaan dan menitahkan sesuatu yang bercanggah, apatah lagi sesuatu yang bersifat politik, yang digunakan oleh pembangkang untuk mencapai kehendak mereka.

Maka, betul atau tidak, nampaklah seolah-olah Raja berada di satu pihak dan Kerajaan di satu pihak lagi. Sebagai reaksi kepada keadaan itu, Kerajaan pula menggunakan Peguam Negara untuk menyokong pendiriannya.

Pada hal, Kerajaan boleh berkata dengan lantang, bukanlah tanggungjawabnya untuk membawa usul percaya terhadap dirinya untuk membuktikan ia ada sokomgan majoriti, tetapi sesiapa yang mengatakan Kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti adalah bebas untuk membawa usul tidak percaya terhadapnya.

Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pembangkang, bukan dengan mengaitkan kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk memaksa Kerajaan mengemukakan undi percaya terhadapnya sendiri.

 Adalah juga lebih baik jika Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak mengeluarkan kenyataan dan menitahkan supaya undi percaya dibawa oleh Kerajaan yang dijadikan modal oleh pembangkang, apatah lagi, kemudiannya Yang di-Pertuan Agong berkenan pula ia tidak perlu dilakukan.

Semua ini telah memberi alasan kepada Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, apabila disoal oleh wartawan apa yang beliau buat untuk menghilang rasa bosan yang disebabkan oleh Covid-19, beliau menjawab beliau menonton lawak politik Malaysia. Walaupun pedih telinga mendengarnya, kita tidak boleh menyalahkan beliau kerana kitalah yang memberinya alasan untuk berkata demikian.

08 09 2021

[email protected] http://www.tunabdulhamid.my https://tunabdulhamid.me

1 COMMENT

  1. Assalamuakikum wbt.artikel n penjelasan yg amat2 berguns utk d fhm kn n d hadamkn oleh politician,cai2 membabi buta,yg berkenaan n pihak yg berkempentingan..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here