HAMPIR kesemua negeri dan wilayah di Malaysia telah mencapai tahap 50 peratus pemberian dua dos vaksin membabitkan populasi dewasa setakat semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, hanya Kelantan dan Sabah yang belum mencapai tahap 50 peratus vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa dengan masing-masing merekodkan 49.9 peratus dan 46.1 peratus.
Lembah Klang membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyaksikan peratusan tertinggi dalam pemberian dos vaksin membabitkan populasi dewasa iaitu 112.9 peratus sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 97.8 peratus lengkap divaksinasi.
Pencapaian itu diikuti Labuan (102.5 peratus satu dos dan 95.6 peratus dua dos); Sarawak (91 peratus satu dos dan 87.8 peratus dua dos); Negeri Sembilan (98.4 peratus satu dos dan 84.1 dua dos) dan Perlis (92 peratus satu dos dan 72.2 peratus dua dos).
Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu pula masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin membabitkan populasi dewasa ketika ini pada sekitar 60 peratus.
Selain itu, Johor, Pahang, Perak dan Kedah masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin ketika ini pada sekitar 50 peratus.
Secara keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus atau 16,299,881 individu daripada populasi dewasa Malaysia telah melengkapkan suntikan dua vaksin Covid-19 setakat semalam.
Selain itu, 88.9 peratus atau 20,814,413 juta orang populasi dewasa pula telah mendapatkan satu dos vaksin.
Menurutnya, 49.9 peratus populasi keseluruhan negara telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 manakala 63.7 peratus sekurang-kurangnya satu dos.
“Ini menjadikan jumlah dos diberikan di seluruh negara termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos adalah sebanyak 37,071,789 dos,” katanya hari ini.
JKJAV pada masa sama memberitahu, untuk vaksinasi harian, sebanyak 326,476 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.
Tambahnya, ia melibatkan pemberian 134,307 dos pertama manakala 192,169 lagi dos lengkap.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Februari lalu memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.
Leave a Reply