AS ‘bimbang’ rekod beberapa anggota Kabinet kerajaan sementara Taliban

Pentadbiran Presiden Joe Biden menyuarakan kebimbangan terhadap gabungan dan rekod beberapa anggota Kabinet Taliban yang baharu diumumkan, menurut jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan kepada Sputnik.

Mullah Mohammad Hassan Akhund

“Kami dapati senarai nama diumumkan terdiri anggota Taliban atau sekutunya dan tiada wanita.

“Kami juga gusar terhadap rekod prestasi beberapa individu,” kata jurucakap itu pada Selasa.

Pada Selasa, Taliban mengumumkan penubuhan kerajaan sementara di bawah pimpinan Hasan Akhund, yang dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2001.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memahami bahawa anggota kabinet yang diumumkan itu merupakan kerajaan sementara, tetapi prestasi tetap dinilai berdasarkan tindakan mereka, menurut jurucakap itu.

“Kami turut berharap agar rakyat Afghanistan dipimpin sebuah kerajaan yang inklusif,” katanya.

Sementara itu, AS akan memastikan Taliban berpegang kepada janji menyediakan perjalanan selamat bagi warga asing yang ingin meninggalkan negara itu.

AS juga berharap Taliban tidak membenarkan negara itu menjadi sarang kumpulan pengganas dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Afghanistan.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *