Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG pembantu pegawai perubatan (MA) maut manakala empat lagi cedera selepas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Ayer Hitam Batu 49, Simpang Renggam, Kluang, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, ambulans berkenaan membawa tiga pesakit dari Machap ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk menerima rawatan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Razali berkata, ambulans berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar.
“Susulan itu seramai 15 anggota dari BBP Renggam dan BBP Ayer Hitam dengan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dihantar ke tempat kejadian.
“Ketika sampai di tempat berlaku kebakaran kecil kira-kira 5 peratus pada bahagian hadapan ambulans berkenaan dan api telah dipadamkan orang awam menggunakan satu unit alat pemadam api jenis debu kering,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Katanya, pemandu ambulan, Othman Ghafan, 50, cedera parah manakala pembantu perubatan, Aidil Hamidun, 27, meninggal dunia di tempat kejadian sementara pesakit lelaki, Sukiman Hassan, 59 dan dua pesakit wanita yang tidak diketahui identitinya cedera ringan.
Beliau berkata, tiga pesakit berkenaan yang terperangkap dalam ambulans berjaya dikeluarkan pihak bomba dan mereka dibawa ke hospital berkenaan dengan menggunakan ambulans KKM.
Abd. Rahim memberitahu, pemandu treler berkenaan, Mohd. Rosli Mohd. Zaini yang berusia 35 tahun selamat dan tidak cedera.
Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian katanya, masih dalam siasatan dan operasi tamat pada pukul 9.24 malam.

Abd. Rahim memberitahu, pemandu treler berkenaan, Mohd. Rosli Mohd. Zaini yang berusia 35 tahun selamat dan tidak cedera.
Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian katanya, masih dalam siasatan dan operasi tamat pada jam 9.24 malam.
Leave a Reply