Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
SEORANG pekerja swasta wanita di Kepala Batas, Pulau Pinang berputih mata selepas wang simpanan miliknya sebanyak RM32,400 lesap dipercayai ditipu sindiket Macau Scam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa berusia 21 tahun itu mula terjerat dengan sindiket terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurutnya, mangsa dimaklumkan oleh individu terbabit kononnya terdapat syarikat yang didaftarkan atas namanya mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM17,600.
Tambahnya, mangsa yang menafikan perkara itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang mengaku pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar, Kedah.
“Individu itu kemudian pula mendakwa akaun bank mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan akan dibekukan untuk siasatan lanjut.
“Mangsa yang panik telah mengikut arahan individu terbabit supaya menyerahkan maklumat perbankan dan kod pengesahan transaksi (TAC) selain diingatkan tidak memaklumkan kepada sesiapa berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noorzainy berkata, sebaik sahaha menyerahkan nombor TAC mangsa menerima notifikasi daripada pihak bank memaklumkan wang di dalam akaunnya sebanyak RM32,400 telah dipindahkan ke akaun bank lain.
Jelasnya, mangsa mengesyaki dia telah ditipu selepas gagal menghubungi semula individu berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Leave a Reply