Perbincangan UMNO Pas

UMNO perlu hentikan penindasan terhadap pemimpin muda bersuara, contohi Bersatu

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

UMNO perlu menghentikan segala penindasan terhadap pelapis pimpinan muda mereka.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Muhammad Zulfadhly Zulkifly berkata, ini termasuk tindakan memecat atau menggantung keahlian mereka.

Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu Bahagian Sri Gading berkata, tindakan itu tidak wajar dilakukan hanya kerana mereka melontarkan pendapat yang baik demi agama, bangsa dan tanah air tetapi bercanggah dengan pendapat Presiden UMNO.

“UMNO juga boleh mencontohi corak kepimpinan Bersatu yang sentiasa membuka ruang kepada anak muda dan pelapis baru di mana kita ada Timbalan Presiden yang berumur 51 tahun dan Naib Presiden berumur 35 tahun.

“Ini termasuk banyak lagi pimpinan muda lain diangkat ke peringkat tertinggi kepimpinan Bersatu yang mana saya sendiri juga sewaktu diangkat menjadi Exco Pemuda Bersatu Malaysia pada usia 25 tahun pada pemilihan parti tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan UMNO yang menggantung keahlian Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo selepas membuat saranan supaya orang Melayu bersatu.

Menurut Papgomo, beliau hanya membuat saranan tersebut dan bukan menyeru ahli UMNO untuk menyertai Bersatu.

Mengulas lanjut, Muhammad Zulfadhly menyambut baik kenyataan dikeluarkan Papagomo itu yang menyatakan pendirian tiada salahnya jika UMNO bekerjasama dengan Bersatu .

“Saya menyambut baik saranan Papagomo kepada ahli UMNO ini dengan perasaan gembira dan besar hati.

“Ini kerana akhirnya orang Melayu akan dapat disatukan semula dengan adanya kerjasama. Segala perselisihan pendapat dan perselisihan fahaman antara kedua-dua parti besar Melayu ini dapat diatasi, lantas bergerak di bawah satu wadah perjuangan yang sealiran,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *