Terengganu teruskan projek pembinaan 20,000 unit rumah untuk rakyat

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

PROJEK pembinaan Perumahan Rakyat Terengganu (PRT) yang sebelum ini terbantut ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah digerakkan semula sejak Ogos lalu.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, bermula Oktober depan projek pembinaan sebanyak 20,000 unit rumah di negeri ini akan diperhebatkan semula.

Katanya, sebelum ini projek tersebut tertangguh kerana tidak dibenarkan atas faktor kesihatan dan keselamatan akibat berlaku penularan Covid-19 di negara ini.

“Memandangkan sektor pembinaan sudah dibenarkan beroperasi, kita akan pastikan sebanyak 20,000 unit rumah dapat dibina dan disiapkan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Dr. Alias, sepatutnya pada tahun ini sudah ada beberapa projek yang telah siap dan diserahkan kepada rakyat.

Bagaimanapun katanya, apabila dikuatkuasakan PKP, maka projek tersebut terhenti termasuk pembinaan membabitkan 11,000 unit rumah yang sedang dilaksanakan.

“Alhamdulillah, sekarang kita telah dapat meneruskan semula, insya-Allah setelah Terengganu beralih ke fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti, membolehkan kesemua projek berjalan lancar.

“Kita berharap apabila Peralihan fasa berlaku di samping kapasiti penuh pekerja bagi sektor ini, sudah tentu pada tahun hadapan ada projek yang dapat disiapkan. Kita harap, rakyat bersabar,” ujar beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *