RMK-12-Pemulihan ekonomi Malaysia lebih kukuh dalam Keluarga Malaysia

Oleh ABU UBAIDILLAH

RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan pada 27 September ini di Dewan Rakyat akan memberi tumpuan kepada pemulihan dan pembangunan semula ekonomi Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tumpuan itu sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) sekali gus dapat meningkatkan pendapatan, melenyapkan kadar kemiskinan di negara ini dan mengurangkan jurang pembangunan diantara negeri dan wilayah.

“Cabaran yang kami hadapi dalam 18 bulan terakhir ini tentunya juga memberikan peluang untuk mengkaji semula dasar dan strategi kami.

“Keutamaan kami adalah membina semula lebih baik, untuk membina semula ekonomi Malaysia, meletakkan Malaysia pada ekonomi yang lebih kukuh bertapak dan membina ekonomi yang lebih kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan webinar bertajuk ‘The Twelfth Plan: Developing the Nation in the Spirit of Keluarga Malaysia’ secara dalam talian, hari ini.

Mustapa berkata, beberapa keutamaan turut disandarkan dalam tempoh 10 tahun menerusi RMK-12.

“Keutamaan kami dalam 10 tahun akan datang adalah seperti berikut, menambah pendapatan, menghilangkan kemiskinan mutlak dan mengurangkan pembangunan jurang antara negeri dan wilayah.

“Memastikan pertumbuhan berkualiti yang berterusan tanpa kompromi alam sekitar, menciptakan persekitaran dasar yang kondusif untuk sektor swasta, pelabur tempatan dan asing,” katanya.

Menurutnya, turut diberi, RMK-12 juga akan memastikan pertumbuhan dan perkembangan yang inklusif dan akan menghasilkan perpaduan dalam kalangan rakyat sejajar dengan konteks Keluarga Malaysia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *