BAGAIKAN jatuh ditimpa tangga, sudahlah kemajuan pembinaan Hospital Papar baharu yang sepatutnya siap tahun lalu hanya mencapai 22 peratus, dewan bedah yang baru siap dibina di Hospital Papar yang lama pula tidak dapat digunakan.
Demikian pendedahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Hospital Papar, kira-kira sejam perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Beliau sehubungan itu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kepada beberapa pilihan termasuklah menamatkan kontrak bagi kontraktor sedia ada.
Namun tegas beliau, KKM akan membuat penilaian terlebih dahulu, apakah sebab berlakunya kelewatan ini sebelum membuat keputusan segera berhubung tindakan yang sepatutnya diambil ke atas kontraktor berkenaan.
“Pada masa sama, saya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk berbincang dan memutuskan langkah yang sewajarnya diambil.
“Sememangnya Papar memerlukan sebuah fasiliti hospital dengan kapasiti yang lebih besar. Hospital yang sedia ada ini terlalu kecil untuk menampung kes-kes yang datang mendapatkan rawatan.
“Sebab itulah pembinaan hospital yang baharu ini perlu disegerakan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau malam tadi.
Mengulas mengenai dewan bedah yang baru siap dibina di Hospital Papar yang lama, Khairy berkata, fasiliti itu tidak dapat digunakan kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang betul untuk sebuah dewan bedah.
Oleh itu katanya, beliau telah meminta Ketua Setiausaha KKM
untuk membuat penilaian sama ada dewan bedah tersebut boleh diselamatkan ataupun tidak.
“Saya telah arahkan supaya laporan dibentangkan kepada saya dalam waktu terdekat,” tegasnya.
Sementara itu, Khairy meneruskan lawatan kerja untuk hari kedua ke Sabah hari ini dengan mengikuti aktiviti Program Outreach Pemberian Vaksin Kepada Penduduk Pulau Larapan di Semporna.
“Setelah itu, saya akan mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tawau dan juga meninjau tapak hospital medan di lapangan terbang lama di Tawau,” tambahnya.
Leave a Reply